PETALING JAYA – Kehidupan di bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur bagi golongan B40 dan berpendapatan di bawah RM3,000 ketika negara menghadapi ancaman pandemik Covid-19 memang cukup sukar.
erkara itu didedahkan sendiri golongan tersebut kepada Kosmo!, di mana rata-rata mereka terpaksa mengharapkan bantuan kerajaan bagi menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat tiada penghujungnya.
Pekerja swasta, Ahmad Faizal Nazreen Abdullah, 34, berkata, golongan berpendapatan RM3,000 merupakan golongan yang paling terkesan dalam tempoh sukar ini.
“Saya terpaksa catu banyak perkara antaranya bil telefon, barangan dapur dan pelbagai perkara lagi bagi memastikan keluarga dapat bertahan ketika ini.
“Sebelum ini ada juga pertambahan dari segi pendapatan kerana syarikat saya ada elaun kerja lebih masa, namun ketika ini semua itu sudah tiada. Tapi saya tetap bersyukur masih ada lagi kerja walaupun gaji kecil,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, moratorium yang diperkenalkan kerajaan cukup memberi makna kepadanya.
Jelasnya, duit bayaran pinjaman kenderaan yang boleh disimpan selama enam bulan sebelum ini membolehkannya bersedia bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan.
“Walau tidak banyak tapi saya rasa itu cukup. Banyak benda yang saya perlu bayar, paling banyak adalah sewa rumah, di Kuala Lumpur nak cari rumah sewa murah memang tak jumpa, rata-rata berharga RM800 ke atas sebulan,” jelasnya.
Berkongsi keperitan hidup zaman pandemik ini adalah seorang pengusaha kantin sekolah dikenali sebagai Razali berusia 40-an yang kini beralih kepada bidang perniagaan online.
Menurut Razali, kehidupannya dahulu boleh dikatakan agak ‘senang’ dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan tetapi kini semuanya berubah dalam sekelip mata.
Jelasnya, pendapatannya kini bergantung hampir kepada perniagaan pakaian terpakai atau bundle yang diusahakan di Facebook Live.
“Sebelum ini saya mengusahakan lima kantin sekolah termasuk dua kantin asrama, kakitangan tetap ada 10 orang dan beberapa lagi kakitangan sambilan yang bergaji hari.
“Namun, sejak pandemik ini (Covid-19) datang, pelbagai masalah terpaksa saya tempuh kerana sekolah ditutup. Saya terpaksa membuang pekerja kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Razali berkata, demi meneruskan kelangsungan hidup dengan berbekalkan modal perniagaan sebelum ini dia nekad menjual pakaian terpakai secara online.