fbpx

Thailand nekad teruskan vaksinasi campuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja kesihatan memberikan vaksin jenis CoronaVac di Stesen Kereta Api Pusat Bang Sue di Bangkok pada 22 Jun lalu. - AFP

BANGKOK – Kerajaan Thailand akan meneruskan rancangan mencampurkan dos daripada dua vaksin berbeza walaupun mendapat amaran daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia tentang bahayanya, lapor akhbar Bangkok Post, semalam.

Pengesahan penerusan program itu dibuat selepas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap idea campuran vaksin.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, perkara itu perlu dijelaskan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan petugas hospital dan pegawai kesihatan selepas Prayut meminta kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas idea campuran suntikan vaksin.

“Kajian menyeluruh diarahkan kerana perdana menteri mahu memastikan keselamatan penerima suntikan campuran.

“Ini kerana WHO memberi amaran tentang kaedah mencampur vaksin maka beliau mahu kajian yang membuktikan ia tidak mendatangkan bahaya kepada rakyat,” kata Anucha.

Tambah Anucha, perdana menteri tidak mengarahkan rancangan itu dibatalkan tetapi hanya berharap panitia kesihatan terbuka menerima pendapat atau pandangan kedua terlebih dahulu.

“Perdana menteri tidak memiliki kepakaran dalam hal ini maka beliau mahu semua pihak bertenang.

“Pakar-pakar kesihatan tempatan perlu menerima pandangan Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Nasional mengenai campuran dos vaksin agar situasi ini dipertimbangkan dengan teliti,” jelasnya.

Pakar virus Thailand, Yong Poovorawan bertegas bahawa kaedah mencampurkan vaksin Sinovac dan AstraZeneca adalah selamat dan adalah pilihan terbaik negara itu dalam memerangi varian Delta yang menular dengan pantas.

Buat masa ini, keutamaan kerajaan adalah memastikan lebih ramai rakyat divaksin kerana ia akan membantu mengurangkan kadar kematian dan jangkitan baharu.

Sementara itu, pejabat kesihatan wilayah  Nonthaburi memilih untuk menangguhkan sementara  pemberian vaksin AstraZeneca kepada memberi individu yang telah menerima dos  Sinovac sebagai vaksin pertama mereka. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI