AUGUSTA, Georgia – Seorang wanita di Amerika Syarikat tergamam menemui 18 ekor ular bersarang di bawah katil bilik tidurnya, lapor laman berita United Press International (UPI) kelmarin.
Trish Wilcher berkata, dia berada di bilik tidur rumah keluarganya di Augusta apabila melihat gumpalan di atas lantai.
“Sebelum tidur, saya terlihat benda bergumpal di atas lantai dan mahu mengambilnya sebelum ia tiba-tiba bergerak,” katanya.
Wilcher dan suaminya, Max terkejut apabila mendapati ‘gumpalan’ itu adalah seekor anak ular dan mereka ternampak 16 ekor lagi anak ular di bawah katil tersebut.
Wilcher memuat naik foto anak ular yang ditemuinya itu di laman Facebook beserta kapsyen: “Saya rasa saya perlu berjumpa pakar sakit jantung selepas ini kerana terkejut”.
Max kemudian mengambil alat penyepit untuk mengambil ular-ular tersebut dan meletakkannya di dalam sebuah beg sebelum melepaskan kesemua ular itu ke dalam semak berdekatan.
Seorang penangkap hidupan liar yang datang pada keesokan harinya mengesahkan bahawa reptilia itu adalah jenis tidak berbisa, manakala tiada lagi ular yang berada di dalam rumah itu. -Agensi