KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dipenjara sebulan kerana menghina mahkamah ekoran tindakannya mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiga tahun lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Lokman menjalani tempoh pemenjaraan bermula hari ini.
Dalam keputusannya, Collin berpuas hati bahawa tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin merupakan satu ugutan yang boleh membawa kepada ancaman terhadap saksi-saksi perbicaraan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Collin turut membenarkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan.
Sebelum itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman memohon penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan oleh anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam memohon agar penangguhan ditolak atas alasan tiada keadaan-keadaan istimewa yang boleh menjustifikasi agar permohonan itu dibenarkan.
Terdahulu, Muhammad Shafee memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara.
Mahkamah turut diberitahu, Lokman tidak mengancam Amhari secara fizikal manakala saksi itu tidak membuat sebarang aduan rasmi mengenainya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Lokman tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia insaf dengan perbuatannya.
Sri Ram berhujah, tindakan Lokman tidak berhenti setakat membuat laporan polis tetapi dia selanjutnya membuat kenyataan media berhubung laporan polis itu ketika Amhari sedang memberi keterangan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929