IPOH – Sebanyak 55 permit penjaja sementara (PPS) telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi khidmat kaunter pandu lalu sekali gus memudahkan kelompok peniaga kecil untuk berniaga secara sah.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kaedah ini juga bukan sahaja cepat dan efisien tetapi bersesuaian dengan situasi norma baharu ketika ini.
Menurut beliau, selain permohonan baharu kaunter tersebut juga telah menerima 30 permohonan memperbaharui PPS.
“Para pemohon dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap permit dan akan mendapat kelulusan serta-merta secara proses pandu lalu.
“Matlamat MBI adalah untuk memudahkan urusan warga bandar ini iaitu kelompok penjaja kecil tambahan pula dalam situasi sukar ketika ini,” ujarnya ketika ditemui selepas melihat operasi kaunter pandu lalu MBI di Persiaran ICC Bandaraya 2 pagi tadi.
Bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, seramai 24 pegawai dan anggota Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI selaku urusetia terlibat dalam pengeluaran permit tersebut.
Kaunter ini beroperasi setiap Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929