fbpx

Suami isteri ditahan beri anak minum racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tersebut yang tular di laman Facebook.

SEREMBAN – Pihak polis telah menahan satu pasangan suami isteri di Seremban bagi membantu siasatan selepas satu video tular di Facebook memaparkan perlakuan seorang lelaki yang kelihatan kecewa serta tertekan akibat penularan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, video berdurasi 16 minit tiga saat itu turut memaparkan perlakuan lelaki tersebut yang mendakwa memberi minum racun kepada isteri, anak serta dirinya sendiri sebagai salah satu cara untuk mengawal tekanan.

“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Seremban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, susulan laporan itu polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 29 tahun di sekitar Seremban.

“Suspek lelaki ditahan pada pukul 10.50 malam semalam manakala isterinya ditahan pada pukul 3.15 pagi tadi.

“Siasatan lanjut masih diteruskan, dan dalam video yang tular itu turut menunjukkan anak mereka yang berusia sembilan bulan,” katanya.

Jelas Mohd. Said, pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam kerana boleh diambil tindakan dibawah undang-undang

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Video yang tular di Facebook itu menunjukkan pasangan suami isteri dan anaknya berada dalam sebuah kereta melahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan semasa Covid-19 serta menunjukkan perlakuan mereka meminum cecair dari botol dipercayai racun dengan anak diberikan minuman sama menggunakan picagari. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI