JITRA – Seramai tujuh lelaki yang berkumpul kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi loteri awam haram ditahan di sebuah medan selera di Pekan Kepala Batas di sini semalam.
Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra hasil maklumat awam pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 54 tahun dan tinggal di sekitar Jitra.
“Tangkapan turut melibatkan seorang suspek berusia 27 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan judi tersebut.
“Dalam serbuan itu, kita merampas telefon bimbit jenis Nokia, satu unit pencetak mudah alih, sehelai kertas bercetak angka dan wang tunai berjumlah RM280,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua mereka dikompaun RM4,000 seorang mengikut Peraturan 8(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan suspek menjalankan kegiatan judi turut disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929