fbpx

Bercuti seperti di kampung sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYU LESTARI ISLAND RESORT yang dibina berdekatan pantai membolehkan tetamu menikmati penorama indah pulau itu di beranda vila mereka.

KEINDAHAN seni bina rumah Melayu tradisional berbentuk A dan dilengkapi loteng menjadikan Bayu Lestari Island Resort lokasi penginapan yang sangat menarik.

Resort tersebut yang terletak di Pulau Besar, Mersing, Johor atau dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar merupakan salah satu daripada empat lokasi penginapan disediakan di situ.

Pengunjung mengambil masa sekitar 30 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Mersing untuk ke sampai ke jeti persendirian resort berkenaan.

Beroperasi secara rasmi sejak tiga tahun lalu, Bayu Lestari Island Resort seluas 2.83 hektar itu menyediakan 15 unit rumah penginapan dipanggil vila.

Resort itu menampilkan keunikan tersendiri yang dibina dengan keindahan seni pertukangan kayu bagi membangkitkan suasana rumah Melayu klasik dan membuatkan tetamu terasa seperti berada di kampung.

Di samping itu, vila-vila tersebut juga dibina berdekatan dengan pantai membolehkan tetamu menikmati keindahan pantai dari beranda.

RUANG dalaman unit di resort ini dibuat secara minimalis dengan meletakkan peralatan asas seperti pendingin hawa, kipas, katil dan sofa serta sentuhan klasik rumah lama.

Selain menikmati pemandangan indah Pulau Besar, resort itu juga memberi peluang kepada tetamu untuk melihat dan bermain dengan haiwan yang ada di situ seperti kuda padi, kambing, ayam belanda dan burung merak.

Menurut pemiliknya, Rosmawati Sayuti, tempat penginapan itu direka sendiri olehnya yang menggunakan kayu daripada pokok-pokok di sekitar pulau itu seperti ru dan pokok kelapa.

“Saya ingin membawakan konsep yang dekat dengan alam, mempunyai elemen kampung, selain memberi fokus kepada percutian keluarga atau berkumpulan.

“Vila-vila di resort ini direka untuk memuatkan kapasiti ramai hingga maksimum 15 orang untuk satu unit,” kata wanita yang berasal dari Johor Bahru itu.

Jelasnya, kerana mahukan pengunjung menikmati keindahan pulau, kelengkapan dalaman setiap unit vila dibuat secara minimalis dengan meletakkan peralatan asas seperti pendingin hawa, katil dan sofa serta sentuhan klasik rumah lama.

Resort ini menyediakan empat jenis vila iaitu Exclusive Villa, Deluxe A Frame, Standard Suite dan Executive Bungalow.

RESORT ini menampilkan keindahan seni bina rumah Melayu tradisional berbentuk A dan dilengkapi dengan loteng.

Rosmawati berkata, Exclusive Villa sesuai untuk mereka yang datang dalam bilangan sedikit seperti dua hingga lima orang.

Unit itu juga dikhaskan bagi mereka yang datang berdua untuk berbulan madu atau menyambut ulang tahun perkahwinan.

“Bagi Deluxe A Frame pula, boleh memuatkan sehingga tujuh orang iaitu lima di aras bawah dan tingkat atas pula untuk dua individu.

“Standard Suite juga dibina setinggi dua tingkat untuk menampung sembilan tetamu dan turut dilengkapi dua balkoni,” terangnya.

Sementara itu, Executive Bungalow dibina untuk kumpulan lebih besar seramai 15 orang merangkumi ruang atas dan bawahnya.

Berbanding unit-unit lain, Executive Bungalow mempunyai ruang khas untuk aktiviti barbeku.

SUASANA damai memberikan ketenangan kepada setiap tetamu di resort tersebut.

Setiap unit vila di resort itu dikenakan bayaran sekitar RM400 hingga RM1,300 bagi satu malam.

Bukan sahaja menyediakan tempat penginapan yang selesa, resort itu juga membantu tetamu melakukan pelbagai aktiviti seperti berbasikal, memancing, snorkeling dan island hopping.

Pihak resort turut menguruskan bot untuk tetamu tiba di jeti persendirian resort itu.

Perkhidmatan pengangkutan itu dikenakan bayaran sekitar RM90 untuk seorang merangkumi perjalanan pergi dan balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI