SALZBURG – Pasukan Liverpool akhirnya boleh menarik nafas lega apabila benteng pertahanan utama yang terdiri daripada ‘empat serangkai’, Virgil Van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold dan Joel Matip sudah menyertai kem latihan pramusim pasukan yang berpangkalan di Austria ketika ini.
Perkara itu disahkan oleh pengurus The Reds, Jurgen Klopp yang menganggap kehadiran keempat-empat pemain itu telah memberi tonik baharu buat pasukan selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas.
“Buat sementara waktu, Van Dijk dan Gomez hanya menyertai satu sesi latihan bersama skuad utama manakala di sebelah petang dia akan menjalani proses pemulihan dengan pegawai fisioterapi kami.
“Bagaimanapun, saya anggap perkembangan terkini dua pemain itu sebagai petanda positif buat pasukan meskipun mereka hanya akan dapat menjalani latihan secara kompetitif seperti pemain-pemain lain selewatnya bulan depan,” katanya.
Sebagai rekod, Van Dijk dan Gomez telah mengalami kecederaan lutut yang serius pada penghujung tahun lalu sekali gus merencatkan hasrat Liverpool untuk mencabar kejuaraan liga dan terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga sahaja.
Mengulas lanjut, Klopp turut mengesahkan Arnold dan Matip lebih hampir untuk menjalani latihan kompetitif sekali gus berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan persahabatan pramusim akan datang.
“Matip dilihat cukup cergas dan bersemangat selepas berehat lebih empat bulan sebelum ini. Dia dan Arnold semakin hampir untuk mendapatkan kecergasan penuh memandangkan kecederaan mereka tidak seteruk yang dialami oleh Van Dijk dan Gomez,” katanya. – AGENSI