SEREMBAN – Sebutan semula kes pendakwaan selebriti popular Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya atas pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai ditangguhkan sekali lagi pada 12 Ogos depan.
Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan Noor Neelofa dan Muhammad Haris Mohd. Ismail berkata, kes itu sepatutnya disebut semula esok (15 Julai 21) tetapi ditangguhkan sekali lagi oleh pihak mahkamah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seremban.
“Mahkamah telah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini (sebutan semula kes Neelofa dan suami) pada 12 Ogos depan atas alasan PKPD masih dikuatkuasa di Seremban,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.
Noor Neelofa kemudian dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 oleh mahkamah atas pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929