fbpx

Hujung minggu penuh kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ITALI muncul juara Euro 2020 selepas menundukkan England menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 pada aksi di Wembley awal pagi Isnin lalu. - AFP

HUJUNG minggu lalu, dunia sukan antarabangsa dihidangkan dengan pelbagai kejutan apabila banyak lakaran sejarah baharu terukir melibatkan beberapa kejohanan utama.

Tumpuan sudah tentulah terarah kepada saingan bola sepak Euro 2020 ketika aksi final yang mempertemukan England dan Itali dalam perlawanan yang berlangsung di awal pagi Isnin lalu.

Aksi tersebut berkesudahan dengan Itali merangkul kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 sepanjang 120 minit saingan.

Itali yang dikemudi Roberto Mancini tiba di saingan tersebut tanpa reputasi sebagai pasukan gergasi ekoran kegagalan mereka melayakkan diri pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Mereka berjaya mempamerkan aksi tanpa kalah dalam tujuh perlawanan sepanjang kempen kali ini termasuk membungkamkan hampir 60,000 penyokong The Three Lions di stadium keramat mereka sendiri Wembley.

Kali terakhir The Azzurri merangkul kejuaraan ketika menjulang Piala Dunia 2006 tetapi untuk saingan Euro, mereka terpaksa melalui tempoh penantian cukup panjang iaitu selama 53 tahun selepas kali terakhir menjuarainya pada 1968.

Ketika saingan Euro berlangsung, di Amerika Selatan berlangsungnya aksi Copa America 2021 di mana tuan rumah, Brazil tewas 0-1 kepada Argentina pada aksi di Stadium Maracana.

Keputusan itu menyaksikan Argentina berjaya menamatkan penantian kejuaraan selama 28 tahun selepas kali terakhir mereka merangkul kejuaraan dalam kejohanan yang sama pada 1993 di Ecuador.

MESSI berjaya menamatkan penantiannya untuk menjuarai kejohanan bersama Argentina selepas mereka merangkul kejuaraan Copa America 2021 menewaskan Brazil Ahad lalu. – AFP

Bagaimanapun, lebih mendapat tumpuan sudah pastinya kejayaan kapten mereka, Lionel Messi yang akhirnya meleburkan badi apabila meraih kejuaraan pertama bersama Argentina.
Menyertai Argentina sejak 2005, Messi, 34, beraksi pada empat pentas final, 2007, 2015 dan 2016 di saingan Copa America dan perlawanan akhir Piala Dunia 2014 tetapi semua berakhir dengan kekecewaan.

Selepas 16 tahun dalam skuad kebangsaan, akhirnya impian Messi tertunai biarpun sebelum itu dia dikritik hebat sehingga pernah membuat keputusan bersara daripada aksi antarabangsa.

Sementara itu, dalam sukan tenis menyaksikan hujung minggu lalu juga berlangsungnya perlawanan akhir Grand Slam Wimbledon yang berlangsung di All England Club, London.
Dalam aksi wanita, Ashleigh Barty muncul juara menewaskan Karolina Pliskova untuk merangkul gelaran Grand Slam kedua dalam kariernya selepas kali pertama menang pada Terbuka Perancis pada 2019.

BARTY muncul pemain Australia pertama selepas 41 tahun yang berjaya menjuarai Wimbledon. – AFP

Apa yang lebih istimewa, Barty menjadi pemain Australia pertama selepas 41 tahun merangkul kejuaraan di gelanggang rumput berkenaan selepas Evonne Goolagong Cawley melakukannya pada 1980.

Dalam saingan lelaki pula, bintang Serbia, Novak Djokovic berjaya menewaskan Matteo Berrettini untuk menyamai pencapaian Rafael Nadal dan Roger Federer untuk melengkapkan 20 koleksi kejuaraan Grand Slam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI