fbpx

Cadang ujian calitan sebelum masuk Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan Shafien (dua kanan) meneliti surat kebenaran perjalanan individu yang masuk ke Kelantan melalui SJR Tok Bali di Kampung Pachakan, Pasir Puteh pada November lalu.

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mencadangkan agar semua individu dari luar Kelantan yang ingin masuk ke negeri ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 atau ujian calitan terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, cadangan untuk menguatkuasakan peraturan itu telah dikemukakan oleh pihaknya kepada Majlis Keselamatan Negera (MKN) baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan tersebut merupakan satu ikhtiar kerajaan negeri dalam membendung Covid-19 sekali gus memastikan tiada penularan jangkitan wabak itu di Kelantan.

“Keputusan ujian calitan itu perlu dilampirkan bersama surat permohonan rentas negeri yang diluluskan oleh pihak polis sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan.

“Terbaharu, Kelantan telah merekodkan tiga kluster baharu yang tercetus oleh aktiviti rentas negeri bagi tujuan kecemasan. Kluster ini masing-masing melibatkan dua kes dari Kuala Lumpur dan Selangor selain satu kes dari Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Izani memberitahu, berdasarlan kepada situasi semasa, kebanyakan individu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai risiko tinggi terkena jangkitan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri bimbang jika tiada langkah awal dijalankan kerana kita tidak mahu penularan Covid-19 kembali parah seperti sebelum ini.

“Individu yang mendapat kebenaran merentas negeri diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI