NEW YORK – Beberapa doktor gigi di Amerika Syarikat menyelar satu trend terbaharu di TikTok yang menggunakan produk pembersihan dikenali sebagai Mr. Clean Magic Eraser bagi mendapatkan gigi putih dan berkilat, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Produk yang digunakan untuk membersihkan pelbagai peralatan rumah itu dicadangkan oleh seorang pengguna TikTok sebagai kaedah yang murah dan berkesan untuk memutihkan gigi.
Bagaimanapun, menurut doktor, produk itu sebenarnya merupakan span melanin yang bertindak sebagai kertas pasir yang berpotensi merosakkan enamel gigi.
“Magic Eraser tersebut diperbuat daripada buih melanin, sejenis buih yang keras seperti kaca dan bertindak sebagai kertas pasir.
“Ini bermakna gigi anda menjadi putih disebabkan anda telah menggosok kesemua enamel gigi. Jadi, jangan lakukannya,” kata seorang pakar ortodontik, Dr. Benjamin Winters.
Sementara itu, dalam satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, @theheatherdunn, dia mendedahkan rahsianya yang memiliki gigi yang putih, iaitu dengan menggunakan produk Mr. Clean Magic Eraser.
Dalam video tersebut, gadis itu menunjukkan aksinya yang sedang menggosok gigi tanpa menyentuh gusinya.
“Ambil sedikit daripada pemadam ajaib ini dan gosokkan pada gigi anda, namun jangan sentuh gusi anda. Saya telah melakukan kaedah ini selama dua tahun.
“Saya tahu ada doktor gigi yang mengatakan bahawa saya gila, namun saya tidak peduli kerana apabila saya pergi berjumpa doktor gigi, mereka memuji gigi saya dengan mengatakan bahawa ia amat kuat, bersih dan sihat tanpa mengetahui rahsia ini,” katanya dalam hantaran tersebut. – AGENSI