PETALING JAYA – Menguruskan bayi lelaki berusia 38 minggu yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 merupakan pengalaman yang paling sukar dilupakan bagi Ketua Pengurusan Jenazah Covid-19, Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur- Karak di Batu Caves.
Ustaz Mohd Firdaus Zakaria berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak ketika membacakan doa untuk bayi tersebut yang merupakan mangsa termuda yang pernah diuruskan pihaknya setakat ini.
“Jenazah bayi itu yang dibawa pasukan pengurusan jenazah, Amal Team tiba di tanah perkuburan pada pukul 9.40 malam. Ketika itu hujan renyai dan tiada waris mengiringi perjalanan terakhirnya.
“Pada malam itu kami semua yang berada di sana ibarat bapa angkat kepada bayi tersebut,” katanya kepada Kosmo! Semalam.
Menurut Mohd. Firdaus, kebiasaannya selepas selesai pengebumian, beliau berdoa memohon keampunan buat si mati namun suasana bertukar sayu dan hiba kerana bayi tersebut yang meninggal ketika dalam kandungan ibunya ‘pergi’ tanpa dosa.
“Saya berdoa supaya keluarganya tabah, diberi ganti yang lebih baik dan bayi tersebut dapat memberi syafaat kepada ibu bapanya.
“Kami difahamkan bayi itu akan lahir dalam masa terdekat kerana usia kandungan ibunya sudah cukup sembilan bulan, namun wanita itu terpaksa ditidurkan dan arwah (bayi) mungkin meninggal dunia semasa di dalam perut,” katanya.
Beliau menambah, kelmarin pihaknya menguruskan tujuh jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada sebelah petang dan dua lagi pada waktu malam termasuk seorang lelaki warga Indonesia dan bayi berkenaan.
Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam memuat naik di laman Twitter sekeping gambar jenazah bayi lelaki maut akibat Covid-19 yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah.
Ibu bayi tersebut dikatakan sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi sebuah hospital tadi.
Bapa bayi berusia 38 minggu itu bersama lapan lagi anak yang lain pula menjalani kuarantin kendiri di rumah di Taman Melati, Gombak.
Dalam pada itu, pelayar-pelayar Twitter melahirkan rasa simpati dengan nasib keluarga bayi tersebut dan berdoa agar mereka tabah menghadapi dugaan tersebut. – K! ONLINE