JOHOR BAHRU – Op Soga VIII yang dijalankan polis Johor bermula 12 Jun hingga 12 Julai lalu ekoran kejohanan bola sepak Euro2020 menyaksikan seramai 70 individu ditahan terdiri daripada bookie bola sepak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang sebulan kejohanan itu, jumlah keseluruhan wang yang dipertaruhkan kesemua sindiket berkenaan bernilai RM44,286,638.
Katanya, dalam tempoh sama, polis Johor turut merampas wang tunai berjumlah RM42,535.
“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 65 tahun dan terdiri daripada 69 lelaki dan seorang perempuan ditahan dalam sejumlah 54 serbuan yang dijalankan di seluruh Johor.
“Kesemua yang ditahan dikenakan reman antara dua hingga empat bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada pelbagai sindiket perjudian berlainan yang beroperasi di premis serta kediaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929