fbpx

Beri suntikan vaksin kepada pelajar sebelum buka sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) disyorkan untuk membenarkan pelajar pe­periksaan di negeri yang telah beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kembali ke sekolah bagi menjalani sesi persekolahan penggal berikutnya bermula 25 dan 26 Julai ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar peperiksaan terutama yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat membuat persiapan lebih rapi.

“Meskipun keputusan SPM 2020 tidak terjejas tanpa pendidikan bersemuka, tetapi kita mahu menangani tekanan dan disiplin pelajar serta menceria­kan semula kehidupan mereka termasuk dalam kalangan guru.

“Kita berharap pengumuman perkara itu dapat dibuat lebih awal supaya guru, pelajar dan ibu bapa dapat membuat persediaan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

KPM sebelum ini memaklumkan, pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula.

Ketika ini, para pelajar dan murid sekolah masih mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) disebabkan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mohamad Ali, KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu bekerjasama bagi memastikan setiap pelajar peperiksaan, guru dan kakitangan sekolah telah me­nerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum sekolah dibuka.

Dalam pada itu, pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berpandangan, pelajar peperiksaan di kawasan luar bandar dan pendalaman paling memerlukan sesi pendidikan secara bersemuka.

Katanya, kumpulan pelajar itu paling berdepan kekangan mengikuti PdPR ekoran ketia­daan peranti yang sesuai atau menghadapi masalah capaian internet berbanding pelajar di kawasan bandar.

Justeru katanya, KPM dan KKM perlu mengutamakan pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 supaya mereka dapat kembali ke sekolah.

Beliau berkata, pelajar peperiksaan 2021 sebenarnya berdepan cabaran lebih besar berbanding pelajar peperiksaan 2020 kerana mereka tidak mendapat pendidikan bersemuka sejak dua tahun lalu.

“Mereka ini sejak tingkatan empat belajar secara PdPR. Tahun ini mereka akan mengambil peperiksaan dan sekolah wajar dibuka untuk mereka sebelum peperiksaan.

“Jika semua pelajar peperiksaan tidak kira di bandar atau luar bandar dapat diberi suntikan vaksin awal supaya dapat ke sekolah dengan lebih cepat lebih bagus,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI