PENANGGUHAN temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam tahun depan pasti memberi kesan kepada persediaan dan persiapan setiap atlet negara apabila perlu mengharungi jadual yang terlalu padat pada musim 2022 nanti.
Pada tahun hadapan, beberapa temasya sukan besar akan dianjurkan seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September).
Ini bermakna, persatuan sukan perlu menyediakan atlet bagi satu lagi edisi sukan dalam satu kalendar tahunan yang padat.
Lebih menarik, kontinjen Malaysia dijangka menyertai Sukan Solidariti Islam ke-5 di Konya, Turki pada Ogos depan selain Sukan Asia Dalam Dewan dan Seni Tempur Bangkok-Chonburi pada tahun 2022.
Persoalannya, adakah Malaysia bersedia untuk menyediakan atlet terbaik bagi mengharungi tiga temasya utama seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan SEA nanti.
Pemerhati sukan negara, Dr. Pekan Ramli mengakui, tahun 2022 adalah tugas berat buat atlet dan Majlis Sukan Negara (MSN) selain Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merangka pelan terbaik.
Justeru, Pekan menyifatkan KBS perlu segera merancang atau meneliti semula penglibatan atlet agar misi dan visi terutama iaitu mencipta kejayaan terus berjaya direalisasikan.
“Tahun depan adalah paling sibuk buat kontinjen negara termasuk atlet sukan universiti kerana mereka akan menghadapi Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan juga Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG).
“Saya rasa KBS perlu strategikan terbaik kerana mereka sudah tahu jadual temasya yang akan disertai pasukan negara pada musim 2022 nanti.
“Saya harap KSB mahupun MSN mula klusterkan atlet-atlet mana yang boleh pergi ke temasya tersebut. Mereka tidak boleh pergi ke semua kejohanan kerana ia agak mustahil.
“Mereka (atlet) bukan pergi untuk melancong atau bercuti. Malah misi utama mereka adalah fokus untuk mendapatkan kejayaan atau memenangi pingat. Jika atlet berkenaan meletakkan Sukan Asia sebagai sasaran, mungkin Sukan SEA boleh dianggap sebagai persiapan atau aksi pemanas badan.
“Jika tiada perancangan dan menghantar semua atlet ke tiga-tiga temasya sukan itu, ia adalah tindakan sia-sia.
“Selain itu, jurulatih juga perlu memainkan peranan untuk menilai dan merancang perjalan atlet mereka. Jika tiada perancangan dan sekadar menempah slot, saya risau satu pingat pun kita tak boleh bawa pulang,” katanya .
Dalam pada itu, Pekan turut menegaskan keperluan untuk menggunakan semula pendekatan mengetengahkan atlet pelapis terbaik khusus pada temasya seperti Sukan SEA.
“Jadual yang padat pasti akan membebankan mereka dari aspek persiapan. Justeru ketika ini atlet perlu menilai semula apa sasaran mereka tahun depan dan potensi mereka mampu membawa pulang pingat di mana.
“Saya menyokong kenyataan KBS apabila memberi tumpuan kepada atlet pelapis, atlet remaja atau atlet daripada Sukan Malaysia (Sukma) untuk diketengahkan terutama pada sukan serantau seperti Sukan SEA.
“Buat acara sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Asia mahupun di Sukan Komanwel mereka boleh jadikan Sukan SEA sebagai sasaran yang lebih tinggi di sana.
“Akhirnya, saya harap KBS dan MSN terus merangka perancangan mereka,” tambah Pekan. -K! ONLINE