fbpx

Akim, Hazama, Tomok, Black bergabung cari penyanyi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT vokalis lelaki terhebat tanah air, Hazama, Tomok, Black Hanafiah dan Akim akan bertindak sebagai juri profesional program pencarian bakat baharu, COF Lockstar.

PANDEMIK tidak menghalang industri muzik tanah air untuk menerima kehadiran perkara baharu, bukan sahaja dari segi karya bahkan juga bakat muda untuk memberikan warna dan nafas yang lebih segar.

Menyedari hakikat tersebut, syarikat rakaman COF Music juga tidak mahu ketinggalan melahirkan penyanyi baharu bersandarkan pada bakat dan kualiti.

Menerusi pertandingan berkonsepkan program realiti, COF Music mencetuskan COF Lockstar, platform yang bakal membuka peluang kepada golongan remaja berbakat dalam bidang nyanyian untuk tampil ke depan.

Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, program berkenaan bermatlamat menyediakan peluang kepada mereka yang benar-benar berbakat untuk dipertaruhkan dalam pasaran muzik semasa.

AMAN NASSIM

Lebih menarik program itu membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 sehingga 30 tahun, termasuk individu yang sudah bergelar penyanyi.

“COF Lockstar adalah platform untuk mencari bakat baharu dalam kalangan penyanyi secara solo, rapper atau berkumpulan sama ada duo atau grup.

“Artis sedia ada pun boleh masuk pertandingan ini tetapi yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

“Program ini juga satu lagi inisiatif COF Music bagi melaksanakan aktiviti sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekali gus menerusi program ini mereka yang bakal terbabit boleh menjana pendapatan berdasarkan hadiah wang tunai disediakan bagi setiap pemenang.

“Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dijanjikan kontrak menjadi artis syarikat rakaman COF Music,” katanya.

Hadiah pemenang tempat pertama bernilai RM50,000, merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.

Tempat kedua, membawa pulang RM5,555 berserta trofi dan pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 berserta trofi.

Turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 dan trofi.

Istimewanya, program tersebut turut menampilkan empat penyanyi terkenal tanah air selaku juri profesional iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah dan Tomok. Sementara, pelawak Ajak pula selaku hos program.

EMPAT vokalis lelaki terhebat tanah air, Hazama, Tomok, Black Hanafiah dan Akim akan bertindak sebagai juri profesional, manakala Ajak Shiro sebagai pengacara akan menjayakan program pencarian bakat baharu, COF Lockstar.

Mengulas mengenai pemilihan empat juri lelaki itu, Aman ada alasan tersendiri.

“Hazama, Akim, Black dan Tomok pernah menjadi juri untuk program realiti. Kebetulan kita memang mencari bakat baharu, jadi pemilihan mereka ini sangat sesuai.

“Pada saya tidak ada istilah kenapa semua juri lelaki dan tak ada perempuan, yang penting mereka profesional. Mereka juga berpengalaman, semuanya pun hebat.

“Itu yang pada saya sesuatu yang menarik. Masing-masing ada cita rasa tersendiri. Kalau nak tahu apa pilihan mereka kena tengok di saluran YouTube COF Music nanti,” katanya.

Menurut Aman, COF Music juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mencari penyanyi dari mana-mana genre lagu.

“COF Music tidak ada sasaran nak penyanyi genre apa, sebab apa yang penting nak berkualiti dan bagus. Pada saya matlamat COF nak cari penghibur terbaik. Industri kita pun kurang penyanyi sebegini. Jadi saya rasa inilah masanya untuk cungkil bakat baru. Kita bentuk dan latih mereka menjadi lebih baik.

PROGRAM COF Lockstar kini memulakan pencarian bakat baharu dunia nyanyian.

Penyertaan

“Saya harap pertandingan dapat mencari dan keluarkan bakat baharu yang berkualiti dan bagus, sekali gus boleh diketengahkan dalam industri muzik,” katanya.

Penjurian bermula dengan mencari 10 video nyanyian terbaik sebelum bermulanya episod pertama yang bakal ditayangkan menerusi saluran YouTube COF Music pada 7 Ogos depan.

Program bakal berlangsung selama empat episod yang menyaksikan penyingkiran setiap minggu dan pemenang bakal diumumkan pada episod akhir.

Sesiapa sahaja yang ingin menyertai pertandingan COF Lockstar perlu ke Instagram COF MUSIC dan borang penyertaan pada bahagian Bio.

Kemudian, mereka perlu memuat naik video nyanyian berdurasi seminit dengan meletakkan tanda pagar #COFLOCKSTAR dan #COFMUSIC.

Perlu dipastikan juga akaun Instagram peserta tidak diletakkan dalam mood private bagi memudahkan penganjur mencari dan menilai video.

Kesemua video yang dihantar akan ditayangkan dalam semua platform media sosial COF Music sebelum 10 peserta terbaik dipilih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI