PUTRAJAYA – Dasar Keselamatan Negara (DKN) disemak semula dan mengguna pakai versi baharu 2021-2025 sebagai mengambil kira ancaman Covid-19 dan strategi untuk menanganinya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DKN yang diwujudkan kali pertama pada 2017 diperbaharui bagi memastikan strategi-strateginya sejajar dengan bentuk ancaman semasa.
“Penularan pandemik Covid-19 pada skala global bermula Mac tahun lalu turut memberi ancaman yang berbeza kepada negara dan MKN khususnya.
“Oleh yang demikian, DKN versi baharu 2021-2025 mengambil kira ancaman Covid-19 dan strategi untuk menanganinya,” katanya ketika berucap sempena sambutan jubli emas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi MKN berkata, pendekatan baharu yang diperkenalkan MKN turut merangkumi konsep Keselamatan Menyeluruh atau Comprehensive Security (COMSEC) iaitu suatu doktrin baharu bagi menggantikan konsep Pertahanan Menyeluruh (HanRuh).
Jelas beliau, konsep tersebut menggabungkan elemen keselamatan dalam negeri, pertahanan, ketenteraman awam, politik, ekonomi, sosial, kesihatan awam dan alam sekitar.
Bagi melaksanakan konsep itu, menurutnya, seluruh jentera keselamatan negara di semua peringkat pentadbiran dan seluruh rakyat negara ini perlu menggembleng tenaga dan usaha menggalas tanggungjawab tersebut. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929