fbpx

Berseronok dulu dengan kehidupan – Shalma Eliana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHALMA ELIANA

TIDAK kiralah setinggi mana kejayaan digapai, semewah mana kehidupan, ada sesuatu yang membezakan setiap individu iaitu sisi bernama pendidikan.

Seseorang itu boleh dilahirkan kaya-raya, namun kalau tiada ilmu di dada, kekayaan yang diwarisi mungkin tak lebih daripada ‘tin kosong’.

Justeru, adalah amat penting untuk seseorang mengejar ilmu tidak kira apa bidang yang sedang diceburi. Pegangan sebegitu juga menjadi pegangan hidup penyanyi muda, Shalma Eliana.

KATA Shalma, percintaannya dengan Ismail Izzani sememangnya serius namun belum sampai ke tahap ingin berkahwin dalam waktu terdekat.

Impikan ijazah

Secara tegas, Shalma atau nama lengkapnya, Shalma Eliana Bruhanutheen, 21, memberitahu dia belum bersedia bergelar isteri selagi masih tidak berjaya mendapatkan segulung ijazah.

Katanya, walaupun dia dan teman lelakinya, Ismail Izzani yang juga seorang penyanyi mempunyai perancangan ke arah itu (perkahwinan), namun keinginan menyempurnakan janji percintaan tidak akan berlangsung dalam waktu terdekat.

“Sejujurnya, memang ada perancangan untuk masa depan (berkahwin) kerana kami pun memang agak serius dengan perhubungan kami.

“Ada perancangan, namun bukan dalam waktu terdekat kerana saya nak sambung belajar dan dapatkan ijazah sarjana muda saya dulu.

“Ada banyak benda yang saya ingin buat untuk diri saya,” katanya sewaktu sidang media secara maya dua single terbaharunya, Rambang dan Naik (featuring Abubakarxli) baru-baru ini.

SHALMA berharap pandemik Covid-19 di Malaysia dapat dikendalikan dengan baik agar semua orang dapat menjalani hidup seperti sediakala. – UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Kahwin

Dijentik persoalan tentang jangkaan untuk menamatkan zaman bujang, Shalma memaklumkan: “Mungkin pada umur 25. Mungkin kerana kita tidak pernah akan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Ibu bapa saya pun nak saya dapatkan ‘degree’ atau berseronok dengan kehidupan terlebih dahulu.

“Pertunangan atau perkahwinan bukan dalam waktu terdekat. Insya-Allah satu hari nanti, ada sudah dalam ‘buku pelan’ saya.”

Berkongsi lebih lanjut mengenai suhu hubungan dengan penyanyi lagu Ada Cara dan Demi Kita itu, menurut Shalma, banyak perbezaan sedang dilalui sejak negara berdepan pandemik, sebelum ini mereka sering bertemu dan keluar bersama.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik, kami berdua sering keluar, makan sama-sama, lepak atau buat aktiviti bersama.

“Tapi sejak keadaan jadi begini, memang terasalah berbeza,” katanya lagi.

MUNCUL dengan dua single terbaharunya, Rambang dan Naik (featuring Abubakarxli), Shalma tetap aktif dalam dunia nyanyian walaupun dibatasi pandemik Covid-19.

Luar negara

Berbalik soal menyambung pengajian peringkat sarjana muda, Shalma sedang menunggu masa sesuai untuk berbuat demikian, namun banyak perkara yang terbantut disebabkan Covid-19 yang melanda dunia.

Menjelaskan tentang perancangan menyambung pengajian di luar negara itu, Shalma berkata, perkara tersebut antara agenda besar dalam hidupnya.

“Kalau ikutkan perancangan memang nak sambung (belajar) tahun ini. Insya-Allah, kalau Covid dah reda sikit, tahun depan saya nak sambung belajar.

“Mungkin dalam bidang komunikasi massa (diploma) atau bidang perniagaan. Universiti mungkin di sekitar Hendon, London kerana semua kakak saya belajar di kawasan itu,” katanya lagi.

Untuk mengisi masa yang ada, Shalma giat mempromosikan single Naik yang kini sudah boleh dilayari menerusi semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music dan JOOX.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI