MADRID – Pemain Argentina, Rodrigo De Paul mengakui sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan Diego Simeone selepas urusan perpindahannya menyertai juara La Liga musim lalu itu selesai.
De Paul meninggalkan Udinese untuk kembali ke Sepanyol dengan menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Atletico Madrid selepas berjaya membantu pasukan negaranya merangkul kejuaraan Copa America 2021.
“Saya sangat gembira. Saya akan bermain untuk pasukan yang bergelar juara La Liga musim lalu dan sedar mengenai tanggungjawab untuk mengekalkan kejuaraan itu.
“Ini adalah langkah besar dalam karier bola sepak saya. Lebih manis, peluang ini hadir selepas berjaya memenangi Copa America 2021.
“Saya akan cuba untuk menepati semua jangkaan. Saya mengenali Atletico dengan baik kerana sebelum ini saya pernah beraksi di Sepanyol,” katanya.
Bekas kapten Udinese itu juga mengakui sangat teruja untuk memberikan aksi terbaik bagi memikat Simeone nanti.
“Saya teruja untuk bekerja di bawah Simeone. Pertamanya kerana beliau adalah salah seorang daripada jurulatih terbaik dunia.
“Kredibiliti yang dimiliki Simeone membuatkan saya rasa bangga dipilih untuk bekerja di bawah kendaliannya. Sejak kecil saya melihat beliau beraksi bersama Argentina dan auranya membuatkan saya sudah tidak sabar,” jelasnya. – AGENSI