LOS ANGELES – Pemain No. 5 dunia, Bianca Andreescu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan bermula secara rasmi di Tokyo, Jepun pada 23 Julai depan.
Atlet kelahiran Kanada itu mengakui bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang masih berleluasa sekali gus menjadi salah satu punca utama keputusan terpaksa diambil meskipun sangat berminat untuk menyertai kontinjen kebangsaan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa saya tidak akan menyertai temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun minggu depan dan keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya lakukan.
“Secara jujur, mewakili Kanada bersaing di temasya berprestij seperti Olimpik sudah menjadi impian saya sejak kecil. Namun, cabaran utama ketika ini adalah pandemik Covid-19 yang membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat tersebut pada edisi kali ini,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Keputusan bekas juara Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat edisi 2019 itu sekali gus menyaksikan dia mengikuti jejak langkah beberapa pemain terkemuka dunia yang terlebih dahulu menarik diri seperti Rafael Nadal, Serena Williams dan Dominic Thiem.
Malah, pemain No. 1 lelaki, Novak Djokovic yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejuaraan Wimbledon baru-baru ini juga masih belum membuat keputusan sama ada untuk menyertai kontinjen Serbia pada temasya itu atau sebaliknya.
Difahamkan, antara faktor utama beberapa atlet terkemuka menarik diri daripada bersaing pada pentas Sukan Olimpik selain Covid-19 adalah keputusan pihak penganjur untuk mengharamkan kehadiran penonton di venue kejohanan sekali gus ia bakal menjadikan saingan agak hambar.
– AGENSI