Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seorang warga emas dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Jeram Tekoh di sini sejak semalam selepas keluar menoreh getah dengan menunggang sebuah motosikal.
Mustapa Awang Mamat, 83, dipercayai hilang selepas dipercayai keluar sendirian.
Isterinya, Asiah Mat Min, 63, berkata, suaminya keluar rumah pada pukul 9 pagi semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.
Katanya, suaminya keluar rumah setiap hari untuk menoreh dan akan pulang menjelang waktu tengah hari pada hari sama.
“Saya berasa tidak sedap hati apabila pada pukul 4 petang semalam dia masih belum pulang ke rumah.
“Kami sekeluarga bimbangkan keselamatannya kerana dia hanya keluar sehelai sepinggang bersama motosikal jenis Modenas lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Asiah berkata, dia juga telah membuat satu laporan polis berhubung kehilangan suaminya pada pukul 8 malam tadi.
Katanya, sebelum ini suaminya pernah hilang namun, ditemui beberapa hari kemudian.
“Selain menoreh getak, suami juga rajin pergi ke kawasan hutan untuk mencari batang palas.
“Saya selalu melarang dia keluar menoreh getah seorang diri tetapi tidak dihiraukan. Dia merupakan seorang yang tidak boleh duduk diam dan rajin bekerja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubungan kejadian itu.
Katanya, operasi mencari warga emas itu sudah digerakkan dengan melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang kampung bermula pukul 8 pagi tadi. – K! ONLINE.