PETALING JAYA – Seorang ibu terkedu apabila mendapati anaknya membelanjakan sebanyak RM2,600 untuk membeli permainan online baru-baru ini.
Pengguna Facebook bernama Nor Liyana Abdullah berkata, dia memberikan telefon pintar miliknya kepada anaknya untuk kegunaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun terkejut apabila mendapati baki wang di dalam akaun simpanan cuma berbaki RM2.
“Semasa PDPR curi-curi main permainan online. Bila periksa dalam e-mel baru perasaan bil-bil pembelian permainan ini semua.
“Semak dgn bank jumlah keseluruhan pembelian RM2,600. Pening-pening. Ya Allah dugaan PDPR. Ibu bapa kena ambil tahu anak kita main permainan apa,” tulisnya dalam hantaran tersebut hari ini.
Ramai dalam kalangan pengguna laman tersebut menasihati ibu bapa supaya tidak menghubungkan pautan akaun bank dengan transaksi online.
“Bil Aplikasi Google Play boleh disambungkan dengan telco juga. Pengguna pelan bil pasca bayar perlu lebih berhati-hati kalau ada anak-anak yang tengah panjang akal. Pengalaman lima tahun lepas, adik bongsu darjah empat main permainan di telefon ayah kena caj hampir RM3,000,” kongsi Aiz Za.
“Sekali buka. Ini dia. Nasib baik masih boleh batalkan,” komen Muizzuddin Muhammad sambil memuat naik gambar empat transaksi pembelian permainan online berharga RM29.90 setiap satu.
“Ingatkan saya seorang saja terkena. Nasib baik tidak letak kad debit atau kredit di situ,” komen Jasrul Jasmin.
“Pernah kena kira-kira RM200 lebih. Nasib baik cepat bertindak. Minta pengembalian semula duit dari Google Play. Nasib baik dapat semula duit,” kata Arzini Mohamad. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929