fbpx

Identiti nahas 7 sekeluarga maut di Simpang Pulai dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana hiba menyelubungi keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini.

IPOH – Kesemua identiti mangsa nahas yang mengorbankan tujuh sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini petang semalam telah dikenal pasti pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa maut merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV), Mohd. Zairul Mat Isa, 34; ibunya, Fatimah Mat Isa, 68, isteri Mohd. Zairul, Noratiqah Abd. Hamid, 30 dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4.

“Tiga yang lain merupakan sepupu Mohd. Zairul iaitu Hasliza Mahmud, 40; suaminya, Zulkifli Shuib, 49; dan anak mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3.

“Tiga yang turut mengalami cedera akibat kemalangan tersebut pula merupakan anak Mohd. Zairul iaitu Muhammad Haziq Zikri, 9, dan dua anak Hasliza iaitu Firash Mikael Azrie Shah, 11 dan seorang lagi hanya dikenali dengan Apit,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.30 petang itu, MPV dinaiki 10 sekeluarga itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Serdang, Kedah selepas bercuti di Cameron Highlands dan Pulau Pangkor.

Menurut A. Asmadi, siasatan awal mendapati, kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler yang sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

“Akibat pertembungan tersebut, MPV berkenaan terbalik menyebabkan beberapa mangsa tersepit sebelum dikeluarkan pihak bomba.

“Kesemua mangsa maut dibawa ke HRPB untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital,” katanya.

Katanya, pemandu treler berusia 32 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semua jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Badlishah, Serdang, Kedah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI