TANGKAK – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan tahanan reman selama tujuh hari ke atas seorang penganggur selepas dipercayai membunuh bapa saudaranya di Kampung Serom 3, Sungai Mati, di sini, semalam.
Perintah tahanan reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Kosmo! semalam melaporkan seorang warga emas berusia 72 tahun maut ditikam anak saudaranya di bahagian badan, muka dan kepala selepas berlaku perselisihan faham.
Menurut Mohd. Fadhil, polis yang menerima laporan kejadian pada pukul 1.19 tengah hari itu berjaya menahan suspek selain merampas senjata yang digunakan untuk menikam mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang tinggal serumah sejak kecil telah bertengkar ekoran pemuda itu sering ditegur bapa saudaranya untuk mencari pekerjaan.
Bagaimanapun suspek berang dan berlaku perselisihan faham antara kedua mereka sebelum pemuda itu kemudian bertindak agresif menikam warga emas berkenaan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929