SEREMBAN – Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai berjaya menangkap empat individu bagi membantu siasatan kes Macau Scam yang dilaporkan di Nilai oleh seorang juruteknik, 9 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, penangkapan berkenaan adalah susulan kejayaan dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang yang dilakukan dari pukul 9 malam semalam hingga pukul 4 pagi tadi.
Menurutnya, seorang wanita berusia 22 tahun dan tiga lelaki termasuk remaja berusia 16 hingga 31 tahun ditangkap dalam serbuan berkenaan.
“Tiga daripadanya beralamat di Pulau Pinang, manakala seorang lagi iaitu remaja yang ditangkap beralamat di Sandakan, Sabah.
“Semua yang ditangkap akan dipohon tahanan reman hari ini di Mahkamah Seremban 2 dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pagi ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang juruteknik kilang rugi sebanyak RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan telah membuat laporan di Balai Polis Nilai. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929