PETALING JAYA – Proton Holdings Bhd. (Proton) telah memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya di Tanjung Malim, Perak dan di Shah Alam mulai semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong berkata, Kumpulan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa peringkat negeri dan persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN).
Menurutnya, dengan kapasiti maksimum harian lebih kurang 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan kakitangan serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin.
Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan SOP diperlukan oleh Proton untuk mewujudkan PPV sementara.
“Pekerja yang belum lagi divaksinasi akan mendapat temu janji melalui applikasi MySejahtera, yang akan berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar akan mendapatkan dos pertama masing-masing.
“Kami berharap dengan proses vaksinasi ini, Kumpulan akan dapat membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.
“Melalui inisiatif sama dari syarikat lain, ia juga mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Chunrong menerangkan, proses vaksinasi ini akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga Proton mendapatkan dos kedua mereka.
Kumpulan menjangkakan, kebanyakan kakitangan akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos ini.