fbpx

‘Ada kesan bungkusan dibuka sebelum ditampal semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Indah khabar daripada rupa.

Itu peribahasa sesuai bagi menggambarkan mengenai kua­liti per­khidmatan kurier apabila bungkusan tidak dikendalikan dengan baik, penghantaran lewat, malah lebih teruk lagi barangan hilang semasa dalam penghantaran.

Seorang mangsa, Mohd. Suzairi Ali Hassan, 32, menempuh pengalaman mendebarkan apabila barangan yang dibeli bukan sahaja mengambil masa panjang, malah item di dalam bungkusan itu juga dilaporkan hilang.

“Isteri saya membeli barangan kosmetik pada 27 Jun lalu dan bungkusan sampai seminggu kemudian.

“Pemeriksaan mendapati barangan di dalam bungkusan itu tidak mencukupi, malah ada kesan seperti bungkusan dibuka sebelum ditampal semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Mohd. Suzairi yang juga penjawat awam memberitahu, kejadian itu menyebabkan isterinya kerugian RM70.

Jelas lelaki itu, dia membuat aduan mengenai perkara tersebut dan syarikat perkhidmatan kurier terlibat berjanji akan menjalankan siasatan terperinci.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! di laman Facebook mendapati orang ramai yang kini mula beralih kepada kaedah pembe­lian online semasa musim pandemik Covid-19 mengeluh mengenai kualiti perkhidmatan kurier sejak kebelakangan ini.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Farah Syahira berkata, keluarganya menghantar buah, namun barangan yang diterimanya pula adalah botol air mineral.

“Kotak (berisi buah) telah ditukar. Tidak kasihankah de­ngan nasib kami yang sudah lama tidak pulang ke kampung (disebabkan pandemik Covid-19),” keluhnya.

Ayumi Faiha Meirissa pula meluahkan rasa kecewa apabila tiga barangan yang dibeli secara dalam talian, namun hanya terdapat satu barang sahaja di dalam bungkusan yang diterima.

Dalam pada itu, seorang pekerja syarikat penghantaran yang enggan dikenali mendakwa, bilangan bungkusan yang bertambah sejak pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pekerja yang tidak mencukupi menyebabkan mutu perkhidmatan kurier merosot.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan pada 3 Jun lalu mendedahkan pihaknya mengesan penurunan ketara kualiti perkhidmatan kurier sejak penghujung tahun 2019 sehingga tahun lalu.

Kira-kira 86 peratus aduan yang diterima adalah membabitkan layanan buruk, penghantaran lewat serta kehilangan barang.

SKMM memaklumkan, langkah pengukuhan industri kurier telah dan sedang dilakukan antaranya Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) dan Pelan Acce­lerator Kurier Negara (PAKEJ).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI