LONDON – Jaguh tenis No.1 dunia, Novak Djokovic percaya dia adalah pemain terbaik pada era moden selepas berjaya merangkul 20 gelaran Grand Slam dengan memenangi Kejuaraan Wimbledon keenam peribadi semalam.
Pemain kelahiran Serbia tersebut berjaya menundukkan pemain Itali, Matteo Berrettini 6-7 (4/7), 6-4, 6-4, 6-3 sekali gus menyamai rekod Roger Federer dan Rafael Nadal dengan 20 gelaran utama.
Hasil kemenangan itu, pemain berusia 34 tahun itu semakin hampir untuk menjulang keempat-empat gelaran utama Grand Slam dalam tempoh setahun yang pertama sejak 1969.
“Saya menganggap diri saya terbaik dan saya percaya bahawa saya adalah yang terbaik. Jika tidak, saya tidak akan bercakap mengenai keyakinan saya untuk meraih gelaran Wimbledon dan untuk melakar sejarah.
“Tetapi sama ada saya menjadi pemain paling hebat sepanjang zaman atau tidak, saya serahkan soal itu kepada orang lain. Saya katakan sebelum ini bahawa sangat sukar untuk membandingkan era sukan tenis.
“Apa yang saya boleh jelaskan, kami memiliki perbezaan dari sudut raket, teknologi, bola dan juga gelanggang. Keadaan ini ternyata berbeza jika anda ingin bandingkan 50 tahun lalu dengan zaman ini,” katanya.
Sekiranya Djokovic melakukan kejutan meraih gelaran utama Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York, September ini, dia akan menjadi pemain lelaki ketiga dalam sejarah selepas Don Budge (1938) dan Rod Laver (1962 dan 1969) melengkapkan kemenangan empat acara Grand Slam semusim.
Pemain Serbia itu kini memiliki 85 gelaran dalam kariernya dan menjadi pemain lelaki pertama melepasi pencapaian hadiah kemenangan sebanyak AS$150 juta (RM627 juta). – AGENSI