fbpx

Nurflix perkasa rangkaian media islamik antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INISIATIF Nurflix dengan membawa pelbagai kandungan islamik dari luar negara diharap dapat memberi khalayak lebih banyak tontonan patuh syariah.

PLATFORM penstriman video kandungan islamik, Nurflix yang dilancarkan sejak Julai tahun lalu giat memperkasa empayarnya agar tidak terhenti akibat pandemik Covid-19.

Sedar dengan kekangan dan keterbatasan melanjutkan produksi penggambaran dan pembangunan kandungan, Nurflix hadir dengan inisiatif pembinaan rangkaian media islamik antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syah Mohamed, kesan pandemik mencetuskan pemerkasaan jalinan penerbitan dan media dengan menjangkau rangkaian kerjasama bersama syarikat penerbitan dan media islamik dari luar negara.

“Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti.

“Kita akan ada kandungan serta kolaborasi dari syarikat penerbitan luar seperti United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia.

“Menerusi kolaborasi yang akan terjalin ini, dianggarkan lebih 1,000 kandungan tersedia untuk ditonton menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Nurflix juga sedang dalam perbincangan dengan platform penstriman islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat.

“Menerusi jalinan rangkaian ini, kami harap kandungan dan program dari luar negara boleh ditonton dalam Nurflix.

“Begitu juga sebaliknya, kandungan Malaysia boleh ditonton penonton di luar negara. Sudah tiba masanya untuk rangkaian ini diperkasakan,” katanya lagi.

Kemasukan kandungan-kandungan luar dalam platform Nurflix pada masa hadapan turut membuka peluang pekerjaan untuk pasca produksi, terjemahan dan alih bahasa.

SYAH MOHAMED mahu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif tanah air.

Patuh syariah

Inisiatif yang dilakukan Nurflix juga diharapkan agar membolehkan khalayak terus menikmati kandungan patuh syariah dari dalam dan luar negara.

Lebih istimewa, platform penstriman berkenaan juga mempunyai sasaran untuk dijadikan platform ilmu dan pembelajaran, bukan semata-mata hiburan.

Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad tersebut akan melancarkan aplikasi natif Nurflix Goldfish 2.0.

Nurflix Goldfish 2.0 lengkap untuk pelbagai peranti seperti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober tahun lalu.

“Naik taraf ini akan dilancarkan sempena 1 Muharram atau 10 Ogos depan. Aplikasi ini akan memberi kelebihan kepada pengguna kerana lebih stabil dan pantas,” ujar Syah.

Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ketika ini, Nurflix meletakkan harapan agar lebih banyak peluang pekerjaan dibuka kepada penggiat media islamik, sekali gus menggerakkan ekonomi terutama dalam sektor penerbitan dan media sepanjang dunia dilanda pandemik.

Aplikasi Nurflix boleh dicapai menerusi laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore dan Google Playstore.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI