PETALING JAYA – Didakwa besar kepala oleh segelintir pengamal media, pelakon Ben Amir, 30, memberitahu, dia tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut.
Kata Ben, dia hanya dimaklumkan tentang tanggapan sukar memberi kerjasama kepada medika semalam ketika ditemui para wartawan pada sidang akhbar filem Aku Bunga, semalam.
Pemilik nama sebenar, Muhammad Amir Sabaruddin itu berkata, dia sedar, anak seni dan media saling memerlukan antara satu sama lain.
“Bidang seni merupakan periuk nasi saya dan saya tahu, kita saling memerlukan antara satu sama lain.
“Kalau orang cakap saya ‘besar kepala’, itu hak mereka kerana saya tidak boleh tutup mulut orang. Saya juga seorang manusia biasa dan saya tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Kata pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian Sweet Dreams itu, mungkin ada ketikanya, dia terlalu sibuk sehingga tidak terlayan pertanyaan daripada teman media.
“Kadang-kadang ada beribu pesanan WhatsaApp masuk. Kadang-kadang tidak terjawab. Tambahan pula, saya sejenis pelakon yang lebih suka berbicara tentang kerjaya daripada hal peribadi.
“Seperkara lagi, kalau ada orang cuba dekati atau bertanyakan sesuatu ‘, saya sangat menghargai kalau bersopan dan mempunyai etika. Kalau orang itu bersopan, saya akan dua kali sopan daripada dia,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaharu, Ben bergandingan dengan Noor Ayu Fatini (Bunga) dan Naim Daniel dalam filem eksklusif yang akan ditayangkan di Astro First (saluran 480) bermula 13 Ogos ini. – K! ONLINE