KUANTAN – Seramai 239 orang daripada 62 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir hari ini.
Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail berkata, mangsa mula dipindahkan ke tujuh buah PPS hari ini selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat.
“Seramai 113 mangsa dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah, SK Ulu Sungai (37), Masjid Kampung Kuala Semantan (16), Balairaya Kampung Sengkela (5), Dewan Serbaguna Kampung Pia (57) Balairaya Kampung Gesing (6) dan Dewan Orang Ramai Kampung Chenua (5).
“Terdapat seramai 28 warga emas dan empat orang kelainan upaya (OKU) turut berada di PPS SK Ulu Sungai, Masjid Kampung Kuala Semantan dan Dewan Serbaguna Kampung Pia,”katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Anuar Hassan berkata, pihak bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap dalam rumah mereka akibat banjir.
Katanya dalam kejadian pada pukul 11.58 pagi itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa yang mengalami strok, seorang wanita dewasa dan seorang remaja perempuan.
“Pasukan bomba membuat operasi menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali dan berjaya membawa mangsa ke tempat yang selamat,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929