PUTRAJAYA – Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah menguruskan 1,193 jenazah orang Islam di Wilayah Persekutuan.
Sehingga semalam, ia membabitkan 682 jenazah lelaki dan 511 jenazah wanita.
Jawi menerusi kenyataan berkata, jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding kira-kira 600 jenazah sekitar 10 Jun lalu.
Menurutnya, jenazah berusia 61 hingga 88 tahun paling ramai diuruskan iaitu 557 jenazah diikuti 41 hingga 60 tahun (397 jenazah).
“Selain itu, bagi usia 81 hingga 100 tahun (100 jenazah), 21 hingga 40 tahun (124 jenazah) dan bawah usia 20 tahun (13 jenazah).
“Lokasi paling ramai meninggal dunia adalah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan 501 jenazah,” katanya.
Katanya, kesemua jenazah itu diuruskan dan dikebumikan oleh 52 petugas lelaki dan 19 petugas wanita.
Susulan peningkatan jumlah kematian akhir-akhir ini, Jawi berkata, pihaknya bersama Jakim sentiasa berusaha dan bersedia melakukan yang terbaik dalam menjalankan amanah negara dan agama.
Malah katanya, kapasiti petugas pengurusan jenazah dan petugas di tanah perkuburan sentiasa diberi perhatian dan ditambah mengikut keperluan semasa.
“Tempoh pengebumian juga dibenarkan hingga ke waktu malam bagi memastikan semua jenazah dapat dikebumikan segera,” katanya. -K! ONLINE.