BENAR kata orang, usaha tanpa mengenal erti jemu, pasti akan ada kemanisannya di penghujung hari.
Itu yang dirasai anak kelahiran Jitra, Kedah, Arham Azmi, 33, yang kini bergelar usahawan berjaya dan pengasas syarikat Bungaa Beauty & Health.
Memulakan perniagaan dengan membuka gerai makan di tepi jalan lebih sedekad lalu mengajar bapa kepada tiga cahaya mata itu erti kehidupan sebenar.
Pengalaman yang diraih hasil titik peluhnya kini mampu dibanggakan apabila dia turut berkongsi rezeki dengan membantu melahir dan membimbing ramai usahawan menerusi produk berasaskan vitamin C yang dikeluarkan syarikatnya.
Akui Arham, penat lelah dilaluinya selama ini mengajar dirinya untuk lebih komited dalam memacu empayar bisnes yang dibangunkannya itu.
Bagaimana saudara boleh terdetik untuk mengasaskan produk Beauty-C, sekali gus mengambil keputusan berhenti berniaga kedai makan sebelum ini?
Sejujurnya, titik tolak kepada terdetiknya untuk mengeluarkan produk ini adalah kerana ingin membantu rakyat di negara ini mendapatkan sumber vitamin C dengan lebih mudah.
Rentetan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara kita sendiri, permintaan kepada produk berasaskan vitamin C semakin meningkat.
Produk lima dalam satu ini juga bukan sahaja membekalkan vitamin C semata-mata, tetapi pengguna juga bakal memperolehi manfaat terbaik daripada pelbagai bahan bermutu tinggi yang diformulasi termasuk madu.
Keputusan berhenti berniaga kedai makan terpaksa diambil disebabkan Covid-19 yang membuatkan saya terbeban dengan komitmen dan hutang.
Berbekalkan modal simpanan yang ada, saya beranikan diri untuk cuba mengeluarkan poduk ini, sekali gus membantu orang ramai yang terkesan untuk turut menjana pendapatan.
Bagaimana proses dan perjalanan saudara yang bermula dari bawah hinggalah berjaya menjadi seorang usahawan bumiputera disegani?
Bercakap mengenai perjalanan, setiap insan berbeza ketentuannya. Saya akui, mula berniaga dari bawah dengan memacak gerai makan di bahu jalan pada peringkat awal dan tidak pernah terbit rasa malu, apatah lagi merendah diri.
Daripada situ jugalah saya diberikan sedikit rezeki oleh Allah untuk naik taraf daripada sebuah gerai kepada premis restoran sebelum ini.
Dalam konteks syarikat yang dibangunkan pula, untuk menjadi seperti sekarang, bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kekuatan diri.
Sepanjang lebih 10 tahun berada dalam arena perniagaan, apa cabaran terbesar yang pernah saudara hadapi?
Tidak dinafikan cabaran memang wujud dalam apa jua perniagaan yang kita usahakan.
Alhamdulillah, sepanjang 10 tahun berkecimpung dengan ‘sepak terajang’ dunia bisnes, ia secara tidak langsung banyak membantu saya mengurus dan mentadbir dengan lebih baik.
Jujurnya, awal berniaga dahulu memang banyak cabaran terpaksa dilalui, namun itu semua mendatangkan kematangan buat saya.
Apa yang saya boleh kongsikan, anggap ujian dan dugaan itu sebagai tangga serta titik kepada permulaan untuk kita berjaya.
Difahamkan saudara telah merekrut ribuan ejen dan dropship selain berjaya melahirkan ramai usahawan muda?
Alhamdulillah, syukur meskipun baharu sebulan mempertaruh dan memperkenalkan Beauty C, saya berjaya melahirkan lebih daripada 1,000 usahawan baharu, selain produk yang terjual lebih daripada 5,000 unit.
Misi dan visi saya untuk menembusi dan melebarkan sayap ke peringkat global seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan banyak lagi semakin jelas untuk dicapai.
Syarikat juga bukan sahaja bertindak melahirkan usahawan semata-mata, tetapi pelbagai ilmu dicurahkan kepada mereka termasuk dari segi latihan dan bimbingan, pemasaran, pengurusan, kewangan, jualan, akaun serta audit.
Apa perancangan syarikat bagi tempoh lima ke 10 tahun akan datang selain tip bagi anak muda yang berminat dalam bidang keusahawanan?
Menyentuh mengenai perancangan jangka masa panjang, visi syarikat adalah untuk menakluk pasaran sebagai peneraju terbesar bagi industri kesihatan dan kecantikan di Asia Tenggara menjelang 2025.
Bukan itu sahaja, jika diizinkan Allah, syarikat turut merancang untuk membuka ibu pejabat di Jakarta, Indonesia dan meluaskan pasaran perniagaan di sana.
Selain itu, kami juga komited untuk melebar luas cabang produk syarikat kepada beberapa segmen lain seperti barangan kemas dan sebagainya.
Menyentuh kepada tip bagi anak muda, jadilah manusia yang kreatif dan bukan pasif, selain timbalah ilmu secara kerap dan jangan sesekali malu untuk berguru.