FASA kecundang dalam percintaan membuatkan si jejaka popular, Hafreez Adam seorang yang lebih berjaga-jaga apabila berkongsi kisah peribadi kepada umum.
Tidak sesekali berniat untuk membelakangi peminat yang sentiasa menyokong, dia sebaliknya mahukan sedikit privasi, khuatir peristiwa lalu berulang kembali.
Tutur Hafreez atau nama lengkapnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan, lebih molek dia berkongsi kisah kerjayanya sebagai pelakon berbanding soal cinta yang masih belum menemui hitam putih.
Lebih privasi
Pendekatan sebegitulah yang sedang dilakukan ketika ini apabila hubungan ‘teman tapi mesra’ bersama pelakon Azar Azmi tidaklah secara kerap dikongsi kepada umum dalam media sosial.
Ujarnya, kesilapan lalu mengajarnya untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan banyak hati terluka kerana sering menjaja kisah peribadi.
Imbas semula, baru-baru ini Hafreez pernah menafikan dia menjalin hubungan cinta dengan Azar, namun mengakui sedang mengenali hati budi wanita berasal dari Negeri Sembilan itu.
“Seperti yang semua orang tahu, saya pernah melalui fasa putus tunang, begitu juga dengan Azar. Jadi, tidak perlu rasanya untuk kami terlalu galak berkongsi tentang perhubungan yang masih tiada kepastian ini.
“Biarlah hanya kami tahu apa yang sedang berlaku dalam hubungan ini. Doakan kami dan jika ada berita baik pasti akan dikongsikan. Insya-Allah,” ujar jejaka berusia 30 tahun itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, keputusan untuk tidak berkongsi kepada umum juga disebabkan kerana status dia dan Azar yang merupakan seorang selebriti.
“Seboleh-bolehnya kami mahu senyapkan sahaja tetapi biasalah sebagai artis, lama-lama orang akan hidu juga. Sebab itu saya katakan kami berkawan kerana risau jika beriya-iya berkongsi kemudian tidak jadi, peristiwa lalu akan berulang kembali,” jelasnya.
Tuturnya, dia juga mahu peminat untuk lebih fokus kepada hasil kerjayanya berbanding daripada kisah peribadi yang belum ada hala tuju lagi.
“Ketika ini saya tak mahu terlalu dibayangi dengan cerita peribadi dan fokus kepada karier saya. Saya faham ramai yang hendak lihat saya bahagia tetapi jangan risau saya akan kongsi jika ada berita baik.
“Daripada dihebohkan dengan benda-benda yang tidak pasti, lebih baik simpan sahaja diam-diam. Nanti jika benda yang dicanang tidak berhasil, orang kecam pula,” jelasnya.
Hafreez bagaimana tidak lokek bercerita tentang bibit perkenalan yang membuatkan hubungannya dengan Azar mulai rapat.
Menurutnya, perkara tersebut berlaku secara spontan dan hanya disebabkan sebuah kipas.
“Saya mula rapat dengan Azar sekitar sebulan terakhir penggambaran drama Derita Untuk Bahagia,
“Semuanya bermula ketika saya membelikannya sebuah kipas mudah alih yang diinginkannya.
“Sejak detik itulah saya mula berkawan rapat sehingga sekarang,” ujarnya.
Seperti magnet yang menarik antara satu sama, akui Hafreez menemui keselesaan saat bersama Azar.
Tidak tenggelam
Bercerita pula tentang kariernya sebagai pelakon, anak kelahiran Kuala Lumpur bersyukur kerana bakat dan keringatnya masih diperlukan dalam industri.
Bahkan, dia juga mengakui tidak terkesan dengan lambakan kehadiran pelakon baharu yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
“Saya sentiasa percaya dengan rezeki. Tahun lepas saya hilang dari radar dunia hiburan selama setahun tetapi dalam senyap-senyap, sebenarnya saya sibuk menjalani tiga buah drama.
“Alhamdulillah rezeki sentiasa murah dan tiada isu pun kehadiran pendatang baharu menenggelamkan pelakon sedia ada. Walaupun nama saya sepi seketika, masih dihujani dengan tawaran berlakon.
“Jika kerap sangat muka sama keluar televisyen, orang bosan juga. Jadi, kehadiran mereka sebagai pelapis memeriahkan lagi industri seni tanah air, yang penting jangan malas menuntut ilmu,” ulasnya.
Hafreez juga beryukur kerana tidak pernah melalui pengalaman bekerja dengan bakat baharu yang pemalas atau mencetuskan masalah.
“Mungkin rezeki saya tidak pernah bekerja dengan pelakon baharu yang bermasalah. Rata-rata mereka rajin bertanya dan buat ‘kerja rumah’.
“Saya sarankan mereka menyertai mana-mana kelas atau bengkel lakonan dengan artis-artis senior seperti Fauziah Nawi dan Nabila Huda.
“Itu akan membantu mereka lebih bersedia sekali gus mampu menjiwai watak dengan baik,” saran pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu.
Rezeki atas kanvas
Jika selebriti tanah air lain sibuk mencari pendapatan sampingan dengan berniaga produk berasaskan makanan dan kesihatan atau reviu dalam Instagram, berbeza pula dengan Hafreez.
Bermula dengan aktiviti ‘suka-suka’, Hafreez tidak menyangka hobinya itu kini menjadi sumber pendapatan sampingan.
“Minat melukis sebenarnya bermula sejak usia tujuh tahun.
“Dahulu saya suka melukis watak kartun anime sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu, saya mula terjemahkan idea di atas kanvas.
“Kemudian saya berkongsi dalam Instagram, tiba-tiba ada yang berminat untuk beli lukisan saya.
“Sebenarnya tidak menang tangan juga tempahan-tempahan para pelanggan tetapi masih boleh dikawal.
Kongsinya, kalimah nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW antara yang mendapat permintaan tinggi selain tulisan nama atas kanvas.
Sama seperti pelukis lain, dia turut memasang impian untuk mempamerkan karyanya dalam mana-mana pameran dan galeri seni.
Katanya, dia turut menerima beberapa tawaran untuk menyertai pameran, namun perasaan bimbang ditipu pihak tidak bertanggungjawab menyelubungi fikiran.
“Saya ada terima tawaran daripada seorang pembeli dari Singapura untuk mempamerkan lukisan saya.
“Cuma sehingga kini tiada kata putus yang saya berikan memandangkan banyak juga kekangan ketika tempoh PKP ini.
“Doakan saya untuk memiliki galeri seni satu hari nanti untuk pamerkan koleksi lukisan sendiri. Itu impian yang akan saya realisasikan satu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.