KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur kerana akaun Instagramnya kini mencatat jumlah 7.8 juta pengikut.
Khabar gembira tersebut dikongsikan Siti menerusi satu catatan dalam Instagramnya, @ctdk petang semalam.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 41, berkata, beliau berkongsi tentang rutin kehidupan dan aktiviti sebagai seorang insan bernama Siti Nurhaliza dalam platform tersebut.
“Perkongsian saya sebagai anak, adik, kakak, isteri, ibu, majikan, pengarah, pemilik syarikat, pengasas produk dan tentunya sebagai seorang penyanyi. Ia termasuklah sebagai penulis lirik, pencipta lagu dan penerbit.
“Rutin harian, urusan perniagaan aktiviti seni, gelagat menguruskan anak dan santai bersama suami, keluarga, sahabat, semuanya adalah paparan peribadi saya di sini (Instagram),” katanya.
Pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu berharap setiap perkongsiannya dapat memberi manfaat tidak hanya kepada dirinya bahkan semua pihak.
Untuk rekod, Siti merupakan selebriti tanah air yang mempunyai jumlah pengikut Instagram paling ramai, diikuti Neelofa (7.6 juta), Zizan Razak (7.4 juta) dan Nora Danish (7.1 juta). – K! ONLINE