Virus yang dinamakan novel koronavirus atau Covid-19 ini bagaikan kisah panjang sebuah novel yang tidak mampu ditebak bagaimana akan penghujungnya.
Bermula dari tahun lalu, dunia mendepaninya dan tahun ini yang diharap mengurniakan sinar, masih samar bahkan tidak salah andai disifatkan lebih buruk.
Di Malaysia, tahun lalu, kes sekadar tiga angka, tetapi kini sudah menghampiri lima angka dan lebih menyayat hati berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh. Jika tahun lalu, PKP membawa kepada satu digit, tapi apabila angka kes melonjak lebih 9,000 pada Jumaat lalu, ramai yang pasti naik bingung.
Penulis bukan sahaja sedih mengenang nasib kita terpaksa berkurung ‘menjauhi’ pandemik, tetapi juga mengenang petugas-petugas perubatan yang berterusan berkorban ‘mendekati’ pandemik.
Berapa lama kita semua mampu bertahan?
Bukan sahaja ketahanan fizikal, tetapi mental. Ketika alasan kerajaan tidak mengadakan PKP pada awal Jun lalu kerana khuatir peningkatan kes bunuh diri, ramai sangsi. Tetapi tiada siapa boleh menafikan kebenarannya hari ini.
Hakikatnya ini bukan masalah Malaysia, tetapi masalah global apabila setiap satu daripada 100 kematian di dunia hari ini adalah disebabkan bunuh diri. Singapura juga melaporkan peningkatan kes bunuh diri dan Kabinet Jepun wujudkan Minister of Loneliness (Menteri Kesunyian).
Mengambil langkah tidak melaksanakan PKP atau mengendurkannya kala pandemik liar menular juga rasanya bagai ‘menadah tengkuk di atas papan pemotong’ bak kata orang putih. Situasi sekarang memang ditelan mati emak, diluah mati bapa.
“Pengasingan diri, ketakutan, ketidaktentuan dan kemelut ekonomi – semuanya menyebabkan tekanan psikologi,” kata Devora Kestel, Pengarah Jabatan Kesihatan Mental, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Seorang penyelidik, Harry Taylor menyifatkan tabiat pengasingan diri yang bertentangan sifat normal manusia ibarat mengambil 15 batang rokok sehari.
Mungkin saat ini ada yang rindu menunaikan solat berjemaah di masjid, hidup tanpa penjarakan fizikal dan pelitup muka, balik kampung ziarahi sanak saudara, terbang di awan biru, bahkan impian kecil ‘bertepuk tampar’ bersama kawan-kawan seperti yang lazim dilakukan dua tahun lalu.
Realitinya, musuh dunia kali ini memang terlalu liat ditumbangkan walau ‘sekebal’ manapun kita. Sebarang usaha melonggarkan atau cuba kembali kepada kehidupan lalu pada masa ini juga pantas dihukumnya.
Baru-baru ini, kluster Covid-19 turut terhasil dalam kejohanan Euro 2020. Semua warga Finland yang hadir ke sebuah stadium di Rusia terpaksa dijejaki berikutan 100 penyokong dijangkiti Covid-19 sekali gus menyebabkan kes meningkat di negara itu walhal Finland sebelum ini dikagumi sebagai negara paling kurang kes Covid-19 di benua Eropah.
Februari lalu, pakar meramalkan Covid-19 mungkin berlarutan sehingga tujuh tahun. Penulis bukan mahu bersikap pesimis, cuma mahu menjentik minda apakah kita benar-benar mampu mengulangi kehidupan masa lalu dan bersediakah kita kehilangannya bagi tempoh yang lebih lama serta kekal waspada menjalani norma baharu selama perlu tanpa sedikitpun leka? Tepuk dada tanya jiwa.