fbpx

Perodua Alza terbabas, bertembung dengan treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Alza.

IPOH – Kemalangan yang menyebabkan tujuh individu termasuk dua kanak-kanak maut di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini petang tadi dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.30 petang itu, kesemua mangsa maut terdiri tiga wanita, dua lelaki dan dua kanak-kanak.

Tiga lagi termasuk dua kanak-kanak lelaki pula mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, sepuluh penumpang MPV jenis Perodua Alza berkenaan sedang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kedah.

“Tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler yang sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

“Akibat pertembungan tersebut, MPV berkenaan terbalik menyebabkan beberapa mangsa tersepit sebelum dikeluarkan pihak bomba,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam tadi.

Tambah A. Asmadi, kesemua mangsa maut dibawa ke HRPB untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital.

“Identiti kesemua mangsa yang berusia antara empat hingga 50 tahun itu bagaimanapun belum dapat dipastikan namun waris mangsa telah dihubungi polis.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menyalurkannya kepada polis,” katanya.

Katanya, pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI