BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggalas misi cukup besar menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirainya pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Ketiadaan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada Olimpik kali ini pastinya memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk menonjol selain berusaha menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara.
Aaron-Wooi Yik diundi dalam Kumpulan D bersama beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, Choi Solgyu-Seo Seungjae (Korea Selatan) dan Jason Ho Shue-Nyl Yakura (Kanada).
Meskipun sedar tidak berdepan laluan mudah di peringkat kumpulan, namun Aaron percaya mereka tetap memiliki peluang cerah untuk mara ke suku akhir dengan menghuni kedudukan dua teratas.
“Bagi saya, undian ini masih baik untuk kami walaupun ada Ahsan-Hendra dan pasangan Korea kerana masih ada peluang untuk melangkah ke peringkat suku akhir.
“Kami tidak pernah bertemu wakil Kanada sebelum ini, jadi apa-apa sahaja boleh berlaku kerana saingan Olimpik sangat berbeza berbanding kejohanan-kejohanan biasa.
“Saya harap akan ada kejutan sama seperti kejohanan All England (Seluruh England) 2019 sebelum ini. Ia akan jadi sumber motivasi kami di Tokyo nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik melakar kejutan pada kejohanan All England dua tahun lalu apabila mara ke perlawanan akhir, namun tewas kepada Ahsan-Setiawan.
Tambah Aaron, dia dan Wooi Yik akan berbincang dengan ketua jurulatih, Flandy Limpele selain akan melakukan analisis terhadap permainan lawan selepas lama tidak bersaing pada kejohanan kompetitif.
“Sebenarnya persiapan sudah capai 100 peratus tetapi kami sedia berbincang dengan jurulatih serta lakukan analisis video kerana setiap perlawanan di Olimpik akan jadi sangat penting.
“Jurulatih juga sentiasa pesan supaya tingkatkan ketahanan mental memandangkan Olimpik bukanlah kejohanan kecil. Kami juga sedia untuk berikan fokus sepenuhnya dalam setiap perlawanan nanti,” ujarnya.