JOHOR BAHRU – Kematian seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan tergantung di rumahnya di Taman Molek di sini dipercayai akibat tekanan perasaan kerana hilang sumber pendapatan sejak lebih setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa ditemui tergantung di tingkap ruang tamu rumahnya.
Menurutnya, mangsa berusia 44 tahun dan bujang ditemui oleh anak saudara angkatnya pada pukul 10.07 pagi.
Pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan lain pada anggota badan mangsa.
Berita berkaitan: Lelaki ditemui tergantung di ruang tamu
“Mangsa yang menganggur telah kehilangan sumber pendapatan sejak lebih setahun lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mangsa juga tidak meninggalkan apa-apa nota berkaitan tindakannya menggantung diri itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE