Pada malam itu, tujuh ahli Vrus FY menunggang motosikal berkuasa tinggi pulang ke ibu kota selepas berkonvoi di Putrajaya.
Konvoi yang diketuai Lando Sani Zawawi, 45, itu bergerak pada kelajuan sekitar 60 kilometer sejam bagi menikmati angin malam.
Setibanya di Seri Kembangan, Selangor sebuah kereta yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba merempuh tiga buah motosikal ahli kumpulan tersebut.
Menurut Lando Sani, impak daripada kemalangan tersebut, dia dan dua lagi rakannya cedera ringan, namun motosikal mereka mengalami kerosakan teruk.
“Saya sangat yakin pemandu itu mabuk kerana menurut saksi kejadian kereta berkenaan dipandu terhoyang-hayang, sekejap ke kiri sekejap ke kanan sebelum melanggar kami.
“Saksi kejadian juga memberitahu selepas perlanggaran itu, kereta itu berhenti tetapi dilihat seperti tidak kisah terhadap kemalangan tersebut. Percakapannya juga merapu sebelum memecut melarikan diri,” ujar Lando ketika ditemu bual K2 baru-baru ini mengulas mengenai kejadian itu yang pernah dikongsikan di media sosialnya.
Meskipun gagal mengesan pemandu tersebut untuk menegakkan keadilan, namun bekas pelakon itu bersyukur kerana mereka semua terselamat daripada maut.
Fenomena pemandu mabuk melanggar pengguna jalan raya bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini dan telah berlaku sejak sekian lama. Bagaimanapun, kejadian tersebut semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutamanya sekitar beberapa bulan lalu.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sembilan kes kemalangan maut telah berlaku disebabkan memandu di bawah pengaruh alkohol sejak Januari hingga Mei tahun ini. Angka itu jelas membimbangkan kerana sama dengan jumlah kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Salah satu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk dilaporkan media dan tular di negara ini sehingga mencetuskan kemarahan nasional adalah membabitkan kematian kakitangan Alam Flora Sdn. Bhd. di Kuantan, Pahang pada 26 Mei lalu.
Kejadian pada malam raya kedua Aidilfitri itu mengorbankan Irwan Herman Kamarudin, 41, selepas kenderaan mangsa dilaporkan dilanggar pemandu mabuk yang memandu secara melawan arus.
Kereta Toyata Yaris dipandu mangsa telah dirempuh sebuah kereta Toyota C-HR sehingga menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Adik mangsa, Izar Putra Ezri Kamarudin, 27, memberitahu, kejadian tersebut sangat menyedihkan dan sukar diterima.
Anak bongsu daripada empat beradik itu percaya kemalangan itu berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pemandu lain.
“Saya sangat marah apabila mengetahui abang dilanggar sebegitu. Disebabkan orang lain, saya kehilangan insan tersayang,” katanya.
Walaupun reda dengan pemergian abangnya, namun Izar Putra tetap berharap suspek dikenakan tindakan yang setimpal dengan perbuatannya suatu hari nanti.
Pada 1 Jun lalu, seorang peraih ikan, Teoh Kian Peng, 42, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan membunuh Irwan Herman yang maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan.
Beberapa minggu lalu pula, seorang peniaga, A. Devarajan didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 3.2, Jalan Pantai pada 25 Julai lalu.
Pensyarah Psikologi Trafik, Sosial, Eksperimen dan Kajian Metodologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail berkata, punca utama fenomena pemandu mabuk adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan kaki minum di negara ini untuk tidak memandu setelah mengambil minuman keras.
Jelasnya, individu yang mengambil minuman alkohol dan mabuk akan memandu selagi boleh melihat jalan dan memegang stereng kenderaan.
“Memang benar tangan, mata dan kaki masih boleh mengawal kenderaan, tetapi mereka (pemandu) lupa bahawa otak yang mengawal seluruh anggota badan.
“Bahan kimia dalam arak boleh menganggu fungsi otak dan menjejaskan tindakan refleks seseorang ketika memandu.
“Dalam keadaan mabuk, keupayaan pemandu untuk bertindak balas dengan pantas terhadap situasi yang berubah-ubah sangat lemah sekali gus mengundang kesilapan penglihatan dan pertimbangan,” katanya.
Rozmi berkata, sepatutnya individu yang meminum minuman keras disarankan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi jika ingin bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Masyarakat juga sebenarnya boleh memainkan peranan. Apabila lihat ada orang minum minuman keras, mereka perlu menasihatinya supaya tidak memandu. Hal ini kerana orang mabuk tidak sedar dengan tindakan mereka ketika itu,” ujarnya.
Terangnya, terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan bagi mengesan alkohol di dalam badan manusia iaitu melalui pernafasan, darah dan air kencing.
Kadar ditetapkan ialah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter (mm) nafas, 80 miligram (mg) alkohol dalam 100mm darah dan 107 mg alkohol dalam 100mm air kencing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengikut undang-undang, individu yang memandu dalam keadaan mabuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Menurut Rozmi, sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan undang-undang dan menguatkuasakannya lebih agresif bagi membendung isu tersebut agar tidak bertambah buruk.
Tegasnya, negara juga boleh mengambil contoh ketegasan undang-undang di Singapura yang mengharamkan terus individu daripada memegang stereng sebaik sahaja mengambil minuman beralkohol dan perlu mencari kereta persendirian atau teksi jika perlu ke mana-mana.
Sementara itu, di Norway penjualan dan penghantaran minuman keras diharamkan selepas pukul 8 malam bagi mengekang pemandu mabuk.
Malaysia juga menuju ke arah mengenakan hukuman lebih berat apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan baru-baru ini terdapat usul meningkatkan hukuman penjara kepada maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 terhadap pemandu mabuk. Itu akan berlaku apabila pindaan undang-undang diluluskan Dewan Rakyat.