WASHINGTON – Ahli perniagaan yang juga jutawan Britain, Richard Branson akan memulakan siri pelancongan ke angkasa lepas hari ini dengan menaiki kapal angkasa SpaceShipTwo, lapor laman berita The Guardian.
Syarikat angkasa lepas milik Branson, Virgin Galactic akan menghantar sebuah kapal angkasa ke penerbangan yang berhasrat untuk sampai 88 kilometer di atas Bumi pada ketinggian puncaknya.
Perjalanan itu adalah beberapa hari lebih awal berbanding misi pesaingnya, pengasas syarikat Amazon iaitu Jeff Bezos yang turut terbang ke angkasa dengan menaiki roket.
Misi berprofil tinggi itu akan dilancarkan dari tapak operasi Virgin Galactic di Spaceport Amerika, padang pasir New Mexico dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman penstriman.
Branson akan ditemani dua orang juruterbang dan tiga penumpang lain dan siaran langsung itu akan dihoskan oleh pelawak, Stephen Colbert.
Perjalanan bermula daripada pelancaran hingga pendaratan akan mengambil masa selama sejam dan mereka yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berpeluang merasai pengalaman anti graviti atau terapung selama beberapa minit.
Penerbangan tersebut adalah sembilan hari lebih awal berbanding penerbangan Bezos yang bakal ke angkasa dengan roket baharunya, New Shepard dan dihasilkan oleh syarikat miliknya iaitu Blue Origin.
Penerbangan Bezos bakal membawa bersama seorang penumpang yang telah membayar tiket AS$28 juta (RM117 juta) untuk perjalanan itu menerusi satu lelongan bulan lalu. -Agensi