PETALING JAYA – Pemimpin politik perlu fokus dalam memerangi wabak covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak harus menjalankan tanggungjawab dan fokus utama harus diberikan untuk membantu rakyat.
“Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat.
“Fokus utama mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelasnya, kes harian yang meninggi sejak beberapa hari ini adalah disebabkan ujian saringan besar-besaran dan bersasar yang dilakukan di kebanyakan kawasan PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangka dengan perkara ini, kini kerajaan sedang berusaha untuk menambah bilangan katil untuk rawatan mereka yang disahkan positif,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) di setiap negeri dan daerah bagi selaraskan di semua peringkat.
“Memang agak sukar sebab dalam SOP ada daerah boleh lakukan terutama berkait peralihan fasa satu dan fasa dua.
“Saya akan mengadakan perbincangan nanti dan Perdana Menteri juga bersetuju saya melihat perkara ini dengan lebih teliti bagi membantu permudahkan urusan pergerakan termasuk NGO yang menyalurkan bantuan kepada rakyat,” katanya. – K! ONLINE