PARIS – Seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia selepas jatuh sakit akibat Covid-19 telah dijangkiti kedua-dua varian Alpha dan Beta pada masa yang sama, kata kumpulan penyelidik di Belgium hari ini sambil menambah, fenomena jarang berlaku itu mungkin dipandang ringan.
Wanita yang tidak menerima pelalian itu tinggal bersendirian dan menerima penjagaan warga emas secara harian di kediamannya.
Dia positif saringan Covid-19 ketika dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst, Belgium setelah beberapa kali terjatuh pada Mac lalu.
Walaupun kandungan oksigen dalam badan pesakit pada awalnya baik, keadaannya merosot dengan cepat dan dia meninggal dunia lima hari kemudian.
Ujian lanjut mendapati pesakit telah dijangkiti kedua-dua varian Alpha yang berasal dari Britain, dan Beta yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.
“Kedua-dua varian ini menular di Belgium ketika itu,” kata ahli biologi molekul, Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai kajian tersebut.
“Sayangnya kami tidak tahu bagaimana dia telah dijangkiti,” tambahnya.
Pada Januari lalu, saintis-saintis di Brazil melaporkan mengenai dua pesakit yang dijangkiti dua varian Covid-19 berbeza secara serentak, namun, tetapi kajian itu belum diterbitkan dalam jurnal ilmiah. – AFP