SEJAK pandemik Covid-19 bermula tahun lalu, rutin Mei Divine Bation yang bertugas di ‘awan biru’ berubah selepas sektor penerbangan negara turut terjejas teruk.
Gadis berdarah campuran Kadazan dan Filipina yang mesra dengan panggilan Mei itu mengakui dahulu masanya dihabiskan di atas pesawat dengan jadual kerja yang padat sebagai seorang pramugari, namun kini lebih banyak masa dihabiskan di rumah.
Situasi itu tidak mematahkan semangatnya, malah dia nekad untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) bagi berbakti kepada masyarakat dan melancarkan proses vaksinasi negara.
Kepada Kosmo! Ahad gadis berusia 33 tahun dari Sabah itu berkongsi pengalaman dan kisah dirinya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institusi pengajian tinggi mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
Kosmo! Ahad: Apa yang menarik tentang diri anda?
Mei: Nama saya diambil sempena bulan kelahiran saya yang jatuh pada bulan Mei dan saya seorang yang mudah didekati, selain itu ramai yang ingat saya seorang gadis Cina sebelum mengetahui asal usul saya.
Boleh ceritakan asal usul Mei?
Saya dilahirkan di Penampang, Sabah berdarah campuran Kadazan daripada sebelah ibu dan bapa pula berketurunan Filipina. Walaupun bekerja di ibu kota saya tidak pernah melupakan budaya etnik saya dan sehingga kini masih menyimpan baju tradisional peninggalan mendiang nenek.
Boleh ceritakan tentang kerjaya anda sebagai seorang pramugari?
Kerjaya sebagai pramugari bermula sejak 2006 ketika saya berusia 18 tahun kerana sejak dari kecil saya bercita-cita menjadi krew kabin selain minat melancong.
Bagaimana ada boleh mendaftar sebagai sukarelawan myVAC?
Saya terbaca mengenai myVAC dan rasa terpanggil untuk mencuba nasib memandangkan kini masa saya banyak di rumah. Saya rasa bertanggungjawab untuk membantu masyarakat mendapat vaksin Covid-19.
Apakah bidang tugas sebagai sukarelawan myVAC?
Memastikan proses vaksinasi berjalan lancar dan orang ramai membuat saringan suhu, selain itu saya mengaplikasikan kemahiran soft skill sebagai pramugari supaya mereka rasa selesa sepanjang mendapatkan vaksinasi di PPV.
Apa pengalaman sebagai sukarelawan myVAC?
Melayan warga emas yang ingin menerima vaksin membuatkan saya teringat ibu dan bapa yang berada di Sabah, malah melihat warga emas ini tersenyum dan gembira memberi satu kepuasan yang tidak ternilai.
Apakah mesej yang ingin anda sampaikan kepada masyarakat tentang vaksin Covid-19?
Seluruh rakyat Malaysia perlu menerima vaksin secepat mungkin supaya negara dapat kembali normal dan jangan dengar propaganda negatif tentang vaksin.
Apa harapan anda dalam sektor penerbangan negara?
Semestinya saya mengharapkan situasi ekonomi negara termasuk sektor penerbangan kembali pulih dan saya dapat ‘terbang’ seperti dahulu, sekali gus merancakkan semula industri pelancongan.
Apakah nasihat anda kepada masyarakat?
Rakyat Malaysia perlu mematuhi prosedur operasi standard dan sentiasa semak aplikasi mySejahtera agar kita tidak terlepas tarikh temu janji vaksin Covid-19. -K! ONLINE