fbpx

Djokovic semakin hampiri gelaran ke-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJOKOVIC mara ke perlawanan akhir Wimbledon selepas menundukkan Shapovalov dengan aksi straight-set kelmarin. – AFP

LONDON – Bintang tenis No.1 dunia, Novak Djokovic selangkah sahaja lagi untuk menjulang gelaran keenam Wimbledon selain meraih rekod gelaran Grand Slam ke-20 selepas berjaya mara ke pentas final kelmarin.

Djokovic menggunakan penga­laman 41 kali beraksi di peringkat separuh akhir Grand Slam de­ngan baik apabila menyingkirkan Denis Shapovalov meskipun diberi tentangan segit oleh pemain berusia 22 tahun dari Kanada sebelum menang 7-6, 7-5, 7-5 untuk mara ke final Grand Slam buat kali ke-30.

Kini, jaguh tenis dari Serbia tersebut hanya selangkah untuk menyamai rekod gelaran Grand Slam kali ke-20 meletakkannya sebaris bersama Rafael Nadal dan Roger Federer.

Djokovic akan membuat perhitungan dengan pemain No. 9 dunia, Matteo Berrettini yang muncul perseorangan lelaki pertama Itali mara ke perlawanan akhir Wimbledon selepas me­numpaskan Hubert Hurkacz dari Poland 6-3, 6-0, 6-7, 6-4.

“Impian saya untuk meraih kemenangan di sini terus berlanjutan dan saya berusaha memanfaatkan kemampuan saya pada setiap perlawanan dan melihat apa yang akan berlaku. Menye­rah tidak pernah menjadi pilihan saya selama ini.

“Pada tahap karier ketika ini, Grand Slam adalah segalanya. Saya berhak untuk melakar sejarah dalam sukan yang saya sa­ngat gemari ini.

“Setiap kali saya terdengar mengenai sesuatu yang bersejarah ia memberi saya inspirasi tetapi dalam masa yang sama saya perlu mengimbanginya dan mencatat kemenangan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Djokovic turut memuji kesungguhan yang dipamerkan Shapovalov dan yakin bintang tenis muda itu mampu menyinar pada Grand Slam akan datang.

“Bagi saya dia (Shapovalov) bermain dengan agak baik terutama menerusi pukulan servis yang bagus. Dia masih muda dan telah memberikan segala-gala­nya sepanjang dua minggu ini. Saya yakin, kita akan melihatnya sekali lagi di pentas utama selepas ini,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI