KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan memperdengarkan secara rasmi lagu bertajuk ‘Demi Malaysia’ dinyanyikan tiga artis popular tanah air, Datuk Awie, Jaclyn Victor dan Naim Daniel kepada rakyat Malaysia hari ini.
Pemilihan ketiga-tiga artis itu berdasarkan keunikan suara yang bersesuaian dengan konsep gubahan lagu selain populariti mereka dalam kalangan rakyat Malaysia.
Demi Malaysia diilhamkan daripada semangat juang barisan atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bermula 23 Julai 2021 ini.
Lagu ciptaan Zimi dan lirik oleh Jerry itu juga menjadi sorakan pembakar semangat mengiringi para atlet negara menghadapi Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo berlangsung 24 Ogos hingga 5 September depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, komposisi lagu Demi Malaysia itu merupakan manifestasi iltizam dan semangat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendahulu kepentingan negara.
Reezal turut merakamkan penghargaan kepada komposer, penulis lirik dan barisan penyanyi yang menghidupkan jiwa lagu tersebut dan pada masa sama menghargai sokongan Ultras Malaya bersama-sama membangkitkan semangat rakyat Malaysia. – K! ONLINE