Joo Ven sedia bukti kemampuan pada kejohanan jemputan BAM
MESKIPUN bergelar pemain profesional, namun perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven tetap menaruh harapan untuk menganggotai skuad badminton kebangsaan ke Piala Thomas 2020.
Walaupun mengakui ia tugas sukar, namun pemain berusia 25 tahun itu sedia menampilkan aksi terbaik menjelang saingan Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bermula hari ini.
“Apabila bergelar pemain badminton, semua pemain pastinya ada impian untuk beraksi pada Piala Thomas termasuk saya. Secara jujur, saya memang impikan untuk berada dalam skuad negara ke Piala Thomas.
“Bukan mudah untuk rebut tempat dalam skuad tetapi saya sedia buktikan kemampuan pada kejohanan jemputan dan setiap sesi latihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemain kelahiran Ampang Jaya, Selangor itu juga meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik pada kejohanan jemputan yang menggunakan format liga sepusingan (round robin).
Pada masa sama, dia juga berpendapat bahawa kejohanan dalaman itu juga memberi peluang kepada semua pemain mengembalikan kecergasan serta merasai suasana kejohanan.
“Harapan saya sekarang adalah untuk tampilkan aksi terbaik serta tempatkan diri dalam kelompok empat teratas pada kejohanan jemputan itu nanti.
“Kejohanan ini juga beri banyak kebaikan kepada kami untuk kembali merasai suasana perlawanan kompetitif. Sebenarnya saya sudah lupa macam mana suasana kejohanan sebenar,” tambahnya.
Selain Joo Ven, pemain-pemain yang menjadi tumpuan pada kejohanan itu termasuk perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia, Cheam June Wei serta juara Siri Super Terbuka Perancis 2012, Liew Daren.
“Sebenarnya saingan ini bukannya mudah kerana semua pemain tahu corak permainan masing-masing memandangkan berlatih bersama setiap hari. Sesiapa yang fokus akan dapat kelebihan,” ujarnya. – K! ONLINE