fbpx

Tapir bakal ikut jejak Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

 

MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
WAKIL KOSMO! PERAK

 

KETIKA ini, jumlah populasi Harimau Malaya seperti yang dilaporkan dalam Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan kajian seluas 44,000 kilometer persegi adalah kurang daripada 200 ekor sahaja.

Berdasarkan data ini, kita seharusnya berasa bimbang hidupan liar yang menjadi ikon kebanggaan negara ini semakin berkurangan dari tahun ke tahun dan kemungkinan ia diancam kepupusan sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, pengura­ngan populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya panthera tigris jacksoni itu adalah berpunca daripada beberapa faktor termasuk pengurangan kawasan habitat dan keliaran haiwan berkenaan akibat akti­viti pembukaan hutan dan guna tanah.

Katanya, selain faktor tersebut, Harimau Malaya turut menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran gelap.

“Justeru, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup harimau ini termasuk melalui National Conservation Action Plan 2008-2020 (NTCAP) dengan kerjasama kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pihak kementerian juga akan melakukan pindaan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang merangkumi tambahan peruntukan kawalan terhadap aktiviti perdagangan dan promosi atas talian serta meningkatkan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah peringkat kebangsaan 2020 yang diadakan di Zoo Taiping & Night Safari, Taiping pada Sabtu lalu.

Tambah beliau, pihaknya juga akan meningkatkan lagi ke­sedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara Harimau Malaya melalui Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang diadakan sejak 2019 secara berterusan dari masa ke masa.

Bagaimanapun, kita juga alpa bahawa terdapat hidupan liar lain yang mendiami hutan di negara ini dan juga perlu diberi perhatian seperti tapir atau nama saintifiknya tapirus.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, haiwan itu boleh menerima nasib sama dengan Harimau Malaya apabila populasinya juga me­nurun dari masa ke masa.

Bercerita lanjut, Abdul Kadir memberitahu, penelitian yang dibuat oleh pihaknya mendapati sebanyak 25 ekor tapir mati akibat dilanggar oleh kenderaan pada tahun 2017.

“Berdasarkan rekod Per­hilitan, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 120 ekor tapir mati disebabkan pelbagai faktor termasuk kemalangan dan jerat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara ini sangat membimbangkan kita memandangkan populasi tapir di seluruh Malaysia pada sekarang ini hanyalah sekitar 700 hingga 800 ekor sahaja,” kata beliau.

Jelas beliau, semua pihak termasuk kerajaan dan agensinya, pihak swasta serta orang ramai diminta supaya berganding bahu agar hidupan ini pula tidak mengikut jejak langkah Harimau Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI